Keberkesanan Op Selamat dicadang dinilai semula

Rahimah Abdullah
Julai 23, 2015 02:09 MYT
Tan Sri Lee Lam Thye berkata langkah itu penting berikutan peningkatan kes kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digesa menilai semula Kempen Keselamatan Jalan Raya termasuk keberkesanan Op Selamat.
Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, MIROS, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu penting berikutan peningkatan kes kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan.
"Dengan perangkaan diberikan pihak berkuasa, ia menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya masih merupakan isu yang amat serius dan ia memerlukan usaha ke arah untuk melihat atau meninjau semula sejauh mana langkah dapat diambil oleh pihak berkuasa sehingga hari ini untuk tangani masalah tersebut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.
Beliau berkata, kes kemalangan jalan raya yang meningkat lebih 2,000 kes sepanjang sembilan hari Op Selamat dijalankan menunjukkan penilaian semula ke atas op selamat perlu dilakukan.
"Elok jika selepas tamat Ops Selamat kita harus buat satu post moterm untuk melihat sejauh mana berlaku kelemahan dalam tempoh Ops Selamat dan apakah kelemahan itu dan apa tindakan perlu diambil untuk menangani kelemahan tersebut," ujar beliau.
Selain PDRM dan JPJ, kerjasama dalam satu pasukan bersama agensi kerajaan lain perlu ditingkatkan bagi memastikan kempen keselamatan jalan raya ditambah baik.
"Saya berpendapat kalau semua pihak terutama berkuasa polis , JPJ dan pihak berkuasa lain bersama dengan golongan kepentingan bincang masalah tersebut ia boleh memberikan gambaran lebih jelas apa perlu dibuat dalam keselamatan jalan raya," tambah beliau.
Op Selamat 7 yang bermula 10 Julai lalu merekodkan, sehingga 18 Julai lalu, 12,282 kes kemalangan jalan raya dicatatkan dengan 203 kematian melalui.
Ia mencatatkan peningkatan berbanding 11, 277 kes kemalangan dengan 185 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.
Op selamat 7 berakhir 24 Julai ini.
#JPJ #Kempen Keselamatan Jalan Raya #Lee Lam Thye #MIROS #Op Selamat #polis