Keberkesanan bekam dalam merawat penyakit sedang dikaji - Dr Dzulkefly

Wan Syamsul Amly
Mac 19, 2019 18:08 MYT
DR DZULKEFLY: Tiada bukti kukuh untuk menyokong keberkesanannya dalam rawatan penyakit seperti herpes zoster, facial paralysis, back pain dan sebagainya termasuk sakit kepala. -Gambar fail
Kajian berhubung keberkesanan kaedah bekam basah dalam merawat diabetes dan penyakit kardiovaskular akan dibuat seawal-awalnya pada tahun hadapan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia termasuk beberapa penyakit lain sebelum mempertimbangkan kaedah rawatan tersebut di klinik kesihatan kerajaan.
"Kementerian Kesihatan telah menghasilkan satu Laporan Penilaian Teknologi berkenaan bekam pada 2012 yang menyatakan bahawa tiada bukti kukuh untuk menyokong keberkesanannya dalam rawatan penyakit seperti herpes zoster, facial paralysis, back pain dan sebagainya termasuk sakit kepala.
"Bagaimanapun, kita akan meneruskan kajian dan menghasilkan satu laporan teknologi kesihatan berkenaan wet cupping untuk diabetis dan penyakit cardiovascular yang akan meneliti bukti saintifik berkaitan keberkesanan bekam basah bagi kedua-dua indikasi tersebut dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Azman Ismail (PH Kuala Kedah) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada ia berhasrat menggunakan kaedah bekam
di hospital-hospital Kerajaan.
Jelasnya, bekam adalah satu cara rawatan berdasarkan bukti yang berkesan dalam menangani penyakit kronik dan dapat mengurangkan kos rawatan.
Dalam pada itu kata Dzulkefly, pihaknya telah menetapkan peraturan berhubung penubuhan pusat bekam di negara ini.
Beliau juga berkata kerajaan memberi tumpuan terhadap perubatan tradisional dan komplementari serta menetapkan syarat dan prosedur operasi standard yang ketat terhadap perubatan alternatif berkenaan.
#Azman Ismail #back pain #Dzulkefly Ahmad #facial paralysis #herpes zoster #kaedah bekam basah #kardiovaskular #Kementerian Kesihatan #merawat diabetes #sakit kepala
;