Kebergantungan kepada import makanan yang tinggi perlu ditangani - Perdana Menteri
Abd Razak Mohd Ali
November 11, 2023 15:35 MYT
November 11, 2023 15:35 MYT
IPOH: Kebergantungan import makanan yang tinggi, mencecah RM75.5 bilion pada tahun 2022, merupakan cabaran yang perlu ditangani bagi meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, potensi sektor agromakanan perlu dikembangkan sebagai salah satu penyumbang utama ekonomi negara.
Dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Perdana Menteri berkata, sektor itu telah memberi sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu iaitu RM173.9 bilion atau 11.5 peratus.
“Fokus kerajaan Madani masa kini berada dalam landasan yang tepat untuk mengangkat dan memartabatkan sektor agromakanan.
“Keterjaminan makanan diberikan tumpuan khusus dalam Agenda Mampan Belanjawan 2024 yang bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat.
“Belanjawan Madani Kedua ini merupakan cerminan kepada usaha memperhebat kelangsungan industri agromakanan negara bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan import,” katanya.
Fadillah membacakan teks ucapan itu ketika merasmikan Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Perdana Menteri berkata, walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi global, prestasi pertumbuhan sektor agromakanan negara kekal positif.
Sehubungan itu, katanya, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam menyediakan insentif secara inklusif kepada pengeluar makanan.
Menurutnya, semua insentif itu yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, perlu disusuli dengan tindakan tuntas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya.
Dalam pada itu, beliau berkata, HPPNK adalah program istimewa yang diadakan secara dwitahunan bagi meraikan golongan peladang, penternak dan nelayan di negara ini.
Menurutnya, penganjuran itu antara lain sebagai manifestasi penghargaan kerajaan terhadap sumbangan pengeluar makanan, walaupun terkesan dengan pelbagai cabaran seperti cuaca ekstrem akibat perubahan iklim, krisis geopolitik global, kenaikan kos input pertanian khususnya baja dan racun.
Sementara itu, Mohamad berkata, tema tahun ini ‘Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan” bertepatan dengan aspirasi sambutan yang memberi tumpuan kepada aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi sektor pertanian yang selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0).
Menurutnya, konsep baharu HPPNK 2023 memberikan daya tarikan khusus untuk golongan muda dengan memberi penekanan kepada empat fokus iaitu Agro Millenia; Agro Teknologi Inovasi; Sejahtera MadaniI; dan Agro Madani.