Keberanian wanita bersuara wajar dapat pujian - Tengku Shireen

Faida Rahim
Jun 14, 2023 15:40 MYT
Tengku Shireen berkata, penglibatan wanita dalam menyuarakan pendapat seterusnya membuat keputusan ketika ini jauh berbeza dengan dahulu. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Keberanian wanita masa kini yang lebih berani menyuarakan pendapat wajar mendapat pujian, kata Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Perlis, Tengku Datuk Shireen Tengku Suleiman.
Katanya, penglibatan wanita dalam menyuarakan pendapat seterusnya membuat keputusan ketika ini jauh berbeza dengan dahulu.
"Penglibatan mereka sebagai pembuat keputusan antaranya dapat dilihat melalui pelantikan lebih ramai wanita ke jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau Ketua Eksekutif (CEO) dalam syarikat senaraian awam (PLC)," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Meja Bulat Kepimpinan Antara Generasi Rantau Asia Pasifik anjuran bersama Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) dan Pengakap Puteri Sedunia Rantau Asia Pasifik dengan sokongan Yayasan Temasek di sini, hari ini.
Acara ini berlangsung sejak 11 hingga 14 Jun, bertujuan membincangkan serta merumuskan strategi dalam amalan kepimpinan antara generasi ke arah rantau yang mampan serta berkembang maju.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan pada program ini terutama dalam memperbaiki kedudukan golongan wanita dalam kepimpinan.
Seramai 230 peserta berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun termasuk delegasi dari 15 negara seperti Australia, Bangladesh, Kemboja, Fiji, Hong Kong, India, Maldives, Korea Selatan, Sri Lanka dan Thailand turut serta dalam persidangan meja bulat kali ini.
Mengulas lanjut, Tengku Shireen berkata, beliau berpuas hati melihat semangat peserta sepanjang persidangan itu.
“Persidangan meja bulat ini merupakan platform tepat untuk belia terutama ahli Pandu Puteri Malaysia termasuk dari 14 negara lain yang turut serta.
“Saya berharap kesemua peserta yang hadir sepanjang empat hari ini dapat mempelajari sesuatu untuk dipraktikkan terutama dalam usaha merealisasikan kepentingan wanita dalam kelompok pembuat keputusan,” katanya.
#keberanian wanita #pembuat keputusan #Pandu Puteri #Tengku Shireen
;