Keberanian PM dalam isu Palestin wajar disokong dan dicontohi - YADIM
Bernama
Mac 19, 2024 20:29 MYT
Mac 19, 2024 20:29 MYT
PUTRAJAYA: Sikap mempertahankan hak rakyat Palestin di persada dunia yang diperlihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diikuti oleh para pemimpin negara ini tanpa mengira parti.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zamri Zainal Abidin berkata rakyat Malaysia juga sewajarnya bersama-sama dengan Perdana Menteri dalam misi beliau untuk memastikan hak-hak kebebasan dan kemerdekaan mutlak negara Palestin dapat dikecapi.
"(Ia) hendaklah disahut dengan mengetepikan perbezaan latar belakang ideologi, politik dan keagamaan serta tidak lagi bergelumang dengan isu remeh-temeh dalam negara," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Anwar meraih perhatian antarabangsa apabila mengkritik Barat pada sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada 11 Mac lepas semasa lawatan rasmi enam hari ke negara itu kerana kegagalan mereka bertindak terhadap kekejaman Israel di Gaza.
Anwar mempersoal kemanusiaan Barat serta mengutuk sikap selektif dan ambivalen mereka dalam konflik itu.
Zamri berkata YADIM kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri ketika berhadapan rakan sejawatnya dari Jerman dan ketika ditemu bual oleh media antarabangsa berhubung isu Palestin.
"Walaupun diasak dengan pelbagai soalan dan helah, Perdana Menteri tetap tegas dengan prinsipnya dan tidak goyah sama sekali.
"Cukup jelas menunjukkan pendirian Perdana Menteri bukan sekadar mampu mengeluarkan kenyataan di dalam negara sahaja bahkan tegas dengan prinsip atas nama kemanusiaan apabila berhadapan dengan negara yang asalnya jelas menyokong tindakan rejim zionis Israel," katanya.
Beliau berkata hal sedemikian membuktikan bahawa Malaysia dari dahulu hingga kini tidak pernah berganjak daripada prinsip menyokong Palestin.
"Biarlah kita bertindak dengan satu suara. Untuk peringkat global, pemimpin-pemimpin dunia Islam khasnya dan seluruh dunia amnya wajar mencontohi sikap Perdana Menteri," katanya.
-- BERNAMA