Keberangkatan balik YDPA, ini senarai jalan yang ditutup pada Selasa
Bernama
Januari 28, 2024 13:50 MYT
Januari 28, 2024 13:50 MYT
KUALA LUMPUR: Tujuh laluan di sekitar ibu negara akan terlibat dengan penutupan penuh manakala 13 laluan akan ditutup secara berperingkat pada Selasa ini sempena Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dalam kenyataan hari ini berkata jalan yang terlibat penutupan penuh bermula pada 9 pagi dan dibuka secara berperingkat adalah Jalan Damansara ke arah Jalan Parlimen (dari arah Istana Lama) dan Jalan Sultan Abdul Halim ke arah Jalan Parlimen.
Turut ditutup, Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Parlimen, Jalan Kuching ke arah Bulatan Dato' Onn, Jalan Salahudin ke arah Bulatan Dato' Onn, Jalan Kuching/Jalan Sultan Ismail ke arah Bulatan Dato' Onn dan Jalan Tun Perak ke arah Bulatan Dato' Onn.
Jalan yang terlibat penutupan sementara bermula pada 9 pagi dan dibuka secara berperingkat adalah Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Damansara, Jalan Travers ke arah Jalan Damansara (dari arah Muzium Negara), Jalan Sultan Hishamuddin ke arah Jalan Damansara (dari arah Bulatan Hishamuddin), Jalan Tun Sambathan ke arah Jalan Damansara, Jalan Syed Putra ke arah Jalan Istana, Jalan Dewan Bahasa ke arah Jalan Istana, Jalan Sungai Besi ke arah KL-Seremban Expressway, Lingkaran Tengah/ Jalan Connaught dari arah Lebuhraya Syed Putra.
Selain itu, New Pantai Expressway (NPE) dari arah Pantai Dalam, Maju Expressway dari arah Tol Salak South, KESAS Highway dari arah Sungai Besi, KESAS Highway dari arah KL/Seremban Expressway dan SUKOM Interchange ke arah KESAS Highway.
"Susulan itu, JSPT Kuala Lumpur akan menempatkan 91 kekuatan yang terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis pada hari berkenaan bagi mengawal lalu lintas agar istiadat dapat berlangsung dengan jayanya, " kata beliau.
Mohd Azman turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk tidak melalui laluan yang terlibat dengan penutupan penuh bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Al-Sultan Abdullah yang melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019 akan menamatkan tempoh pemerintahan selama lima tahun pada 30 Jan ini.
-- BERNAMA