Keberangkatan balik yang dinanti - MB Pahang
Bernama
Januari 30, 2024 19:05 MYT
Januari 30, 2024 19:05 MYT
KUANTAN: Bagai pungguk rindukan bulan, demikian gambaran diberikan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mewakili rakyat Pahang yang sentiasa menantikan kepulangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke negeri ini.
Penduduk Pahang menurut Wan Rosdy, sentiasa menghitung hari kepulangan Al-Sultan Abdullah ke bumi Tok Gajah kerana kasihnya Seri Paduka terhadap rakyat tidak dapat disembunyikan apabila menyantuni mereka tanpa protokol ketat.
"Seri Paduka berdua dengan penuh rasa kasih dan sayang menyantuni rakyat jelata tanpa mengira kaum, pangkat dan juga kedudukan.
"Kesemuanya disantuni dengan penuh ramah dan mesra. Kemesraan yang diperlihatkan Tuanku ini, bertepatan dengan slogan Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada," katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santapan/Jamuan Tengah Hari Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta paduka-paduka anakanda termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan.
Terdahulu, ketibaan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di dewan itu diiringi dua ekor gajah iaitu Alam dan Sanum yang turut sama menyertai perarakan diraja di Kuantan bersama pelbagai lapisan masyarakat, tidak mahu ketinggalan meraikan keberangkatan balik pasangan Diraja Pahang itu.
Wan Rosdy berkata tidak keterlaluan sekiranya beliau beranggapan rakyat jelata masih mengharapkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah terus bersemayam di Istana Negara kerana mahu terus menumpang kasih Seri Paduka berdua.
"Namun begitu, patik dan seluruh rakyat jelata Pahang sudah lima tahun merindui dan sentiasa menantikan kepulangan baginda Tuanku berdua.
"Setinggi mana pun hamba rakyat di seluruh negara menyayangi Tuanku, tetapi rakyat Tuanku di Pahang lebih lagi menyayangi dan merindui Tuanku," katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh lima tahun, kerajaan negeri telah diperintah serta diuruskan dengan baik oleh Tengku Hassanal dengan pelbagai kejayaan dicapai sehingga mengangkat Pahang menjadi antara negeri terbaik di Malaysia.
"Patik juga yakin perpaduan kaum di negeri ini akan menjadi lebih erat, harmoni dan kukuh dengan rakyat jelata hidup dalam penuh toleransi, saling menghormati dan bekerjasama," katanya.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong
#Raja Permaisuri Agong
#Wan Rosdy Wan Ismail
#Keberangkatan balik yang dinanti
#AgongKita