Keberangkatan Agong, Permaisuri tingkatkan moral dan motivasi pasukan polis

Ridauddin Daud
Mac 20, 2023 15:08 MYT
Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 pada Isnin menjadi lebih istimewa dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. -Bernama
KUALA LUMPUR: Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 pada Isnin menjadi lebih istimewa dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga meningkatkan moral dan motivasi kepada pasukan polis.
Menurutnya, sambutan ke-216 itu menunjukkan sejarah panjang Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah berjasa besar dalam memastikan keselamatan negara keseluruhannya dijamin setiap masa.
BACA: Agong zahir ucapan Selamat Hari Polis ke-216, hargai pengorbanan warga PDRM
"Hari ini sambutan polis kali ini menjadi lebih manis dengan menerima tetamu Tuanku Seri Paduka dan Raja Permaisuri, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan isterinya (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail).
"Biasanya yang datang PM sahaja, sebab itu buat hari ini kehadiran Agong memberi impak yang besar kepada moral dan motivasi pasukan polis.
"Bagi seluruh keluarga besar pasukan polis, saat ini tentunya menjadi saat yang sangat berharga yang akan mendorong pasukan polis untuk menjadi sebuah pasukan yang kompeten dan meningkatkan komitmen profesionalisme sesuai dengan tugas hakiki kepolisan," katanya.
BACA: Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Istiadat Peringatan Polis Ke-216
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir ke sambutan itu di Pusat Latihan Polis di sini pada Isnin.
Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang mengetuai pasukan polis, menunjukkan sumbangan dan perkhidmatan yang cukup luar biasa setakat ini.
"Terutamanya dalam suasana negara ketika ini yang sedang melalui fasa-fasa untuk melihat satu proses kestabilan politik yang berjaya kita capai.
“Seterusnya adalah fokus kepada memulihkan kembali ekonomi serta melaksanakan fokus kepada agenda rakyat..kerana keamanan itu adalah kunci segala-galanya," ujarnya.
Turut hadir memeriahkan istiadat itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri beliau serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Affendi Buang selain Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Hari Polis ke-216 | YDP Agong & Permaisuri berangkat ke istiadat perbarisan
Dalam majlis sama, Saifuddin Nasution turut menyaksikan penerimaan kenderaan pacuan empat roda sumbangan Tenaga Nasional Berhad kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman tanpa melibatkan kos atau bajet kerajaan.
Menurutnya, sumbangan sedemikian akan meningkatkan kekuatan aset pasukan polis dalam membanteras jenayah kecurian utiliti secara lebih efisien selepas ini.
Ditanya mengenai kebajikan polis dari segi perumahan dan soal kenaikan gaji, Saifuddin juga menegaskan ia menjadi agenda berterusan kerajaan dan bukannya isu bermusim atau fokus bersempena hari polis sahaja.
#Hari Polis #PDRM #Acryl Sani Abdullah Sani #Saifuddin Nasution
;