Kebenaran rentas negeri ceriakan pasangan PJJ 'terpisah' 73 hari
Umavathi Ramayah
Mei 24, 2020 16:50 MYT
Mei 24, 2020 16:50 MYT
Kebenaran pergerakan rentas negeri, nyata menceriakan pasangan suami isteri yang 'terpisah' 73 hari.
Berkongsi dengan Astro AWANI, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhammad Adnan Pitchan memberitahu, kali terakhir beliau berjumpa dengan isterinya adalah pada 8 Mac lalu, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau memberitahu, pada awalnya, beliau redha dan akur dengan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan pergerakan rentas negeri untuk menyambut Aidilfitri.
"Namun demikian, apabila kerajaan mengumumkan yang suami isteri 'PJJ' (Perhubungan Jarak Jauh) boleh merentas negeri, lantas saya membuat permohonan dan Alhamdulillah permohonan itu diluluskan," katanya di sini, pada Ahad.
Menjelaskan situasi dihadapinya, Dr. Muhammad Adnan yang juga Tokoh Saudara Kita Negeri Selangor 1438 sempena majlis sambutan Ma'al Hijrah peringkat Selangor itu berkata, mereka terpaksa 'berpisah' ekoran tuntutan kerja yang memerlukan isterinya berada di Jerantut, Pahang dan beliau di ibu negara.
Meskipun sudah bergelar suami isteri, beliau memberitahu, mereka tidak dapat menjalani ibadat berpuasa pertama mereka bersama melainkan dua hari terakhir selepas mendapat kebenaran rentas negeri pada 21 Mei lalu.
"Jadi saya sempat berpuasa dua hari terakhir bersama isteri dan keluarga mertua di Pahang. Apa-apapun saya bersyukur.
"Alhamdulillah pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kami tetap dapat merayakan bersama dalam keadaan yang sederhana tetapi tetap meriah," tambahnya.
Apa yang penting katanya, ia disambut dengan penuh kesyukuran dan bermakna.
Walaupun rentak Syawal ini sedikit berbeza apabila PKPB mengubah gaya sambutan Aidilfitri, namun sambutan tahun ini cukup bermakna bagi dirinya kerana buat kali pertamanya beliau beraya sebagai seorang suami.
Pada 10 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perutusan khas memberi sedikit kelonggaran perjalanan rentas negeri kepada suami atau isteri yang tinggal berjauhan disebabkan urusan kerja.
Pun begitu katanya, permohonan perlu dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis yang berdekatan.
Namun Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Mei lalu berkata, kerajaan tidak lagi membenarkan sebarang pergerakan rentas negeri kecuali atas alasan kecemasan sahaja.
#Aidilfitri
#barisan hadapan
#COVID-19
#Ma'al Hijrah
#MCO
#perintah kawalan pergerakan
#Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat PKPB
#PKP
#Tokoh Saudara Kita Negeri Selangor 1438
#Universiti Kebangsaan Malaysia UKM