Kebenaran rentas daerah: Pihak industri wajar kenakan SOP tambahan
Rahimah Abdullah
Disember 6, 2020 18:11 MYT
Disember 6, 2020 18:11 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak industri atau syarikat swasta wajar mengenakan prosedur operasi standard (SOP) tambahan bagi mengelak penularan COVID-19 susulan kebenaran rentas daerah dan negeri berkuat kuasa 7 Disember.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi & Biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Malina Osman pada masa sama berkata, orang ramai perlu melakukan kawalan kendiri dan memastikan pematuhan SOP yang tinggi apabila keluar dari rumah.
"Kita sudah menghadapi perkara ini sejak Mac. Masing-masing sudah penat kerana rasa terkongkong dan merasai kesan emosinya. Jadi apabila dapat keluar, ia peluang baik dan perlu patuh SOP dan dalam keadaan tertentu dialu-alukan jika pihak industri dan swasta dapat mengenakan suatu SOP tambahan bagi mengelakkan penularan atau potensi kes-kes baharu," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Ahad.
Tambahnya, kebanyakan isu kegagalan untuk patuh kepada SOP adalah melibatkan tempat kerja dan di tempat awam.
Ia termasuk tidak memakai pelitup muka dengan sempurna dan gagal menjaga jarak sosial.
Malah, bukan sahaja di tempat kerja, mereka juga perlu melindungi golongan yang berisiko seperti warga emas apabila pulang ke kediaman atau kampung halaman.
"Tumpuan juga perlu diberikan bukan sahaja di tempat kerja, tetapi juga apabila balik ke rumah, mereka perlu mngelakkan penularan di tempat kerja ke rumah. Jangkitan ini serius apabila ia terkena pesakit kronik.
"Jadi kita perlu lindungi mereka yang rentan seperti golongan tua, penyakit kronik, dan mereka yang menjaga orang sakit," tambahnya.