Kebenaran masuk ke Sarawak dilanjutkan sehingga 15 November

Syafik Shukri Jalil
Oktober 15, 2020 18:00 MYT
Keperluan untuk melanjutkan syarat kemasukan ke Sarawak wajar dilaksanakan sehingga 15 November 2020 bagi mengekang penularan COVID-19 di sana. - Gambar fail/Astro AWANI
KUCHING: Kabinet Negeri Sarawak hari ini memutuskan untuk melanjutkan tatacara kemasukan ke negeri itu sehingga 15 November 2020.
Menurut Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, keputusan dicapai selepas mengambil kira peningkatan kes positif COVID-19 di negeri itu.
“Keputusan ini dibuat kerana kita memandang serius peningkatan kes di negeri ini dan 50 peratus kes adalah dari negeri Sabah dan Labuan.
“Manakala 15 peratus kes mempunyai sejarah melawat ke Semenanjung Malaysia dan kita ada 6 kes import dari luar negara, kata Uggah
Justeru katanya, keperluan untuk melanjutkan syarat kemasukan ke Sarawak wajar dilaksanakan sehingga 15 November 2020 bagi mengekang penularan COVID-19 di sana.
“Hari ini Kabinet Negeri telah bermesyuarat dan menilai situasi semasa COVID19 yang berlaku di luar Sarawak.
“Oleh itu mesyuarat telah memutuskan untuk melanjutkan Tatacara Kemasukan Ke Sarawak sehingga 15 November 2020,” tambah Uggah.
Terdahulu pada 1 Oktober 2020, JPBN Sarawak menetapkan semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang berada di Sabah dan Labuan kini tidak dibenarkan masuk ke Sarawak bermula 4 Oktober 2020 sehingga 18 Oktober 2020 (14 hari).
BACA: COVID-19: Ini tatacara baharu ke Sarawak mulai 4 Oktober 2020
Manakala bagi warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang ingin masuk ke Sarawak dari Semenanjung Malaysia perlu memohon kemasukan melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi e-Health Declaration Form.
Mereka akan dikuarantin selama 14 hari dan ujian COVID-19 diambil pada hari ke-2 dan ke-10 serta kos kuarantin dan ujian COVID-19 ditanggung sendiri.
Uggah berkata demikian semasa sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Khamis.
#COVID-19 #Sarawak #Sabah #Labuan #Semenanjung Malaysia #kes import #JPBN Sarawak #Douglas Uggah Embas
;