Kebenaran makan di kedai: Peniaga sedia sambut pelanggan lengkap vaksinasi

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 10, 2021 08:25 MYT
Rata-rata pemilik restoran membuat persediaan rapi bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) para pelanggan. -Astro AWANI
SEBERANG JAYA: Pengumuman kerajaan membenarkan orang ramai makan di kedai bermula hari ini nyata melegakan para peniaga.
Rata-rata pemilik restoran membuat persediaan rapi bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) para pelanggan.
BACA: Kelonggaran SOP penerima lengkap vaksin berkuat kuasa hari ini
Tidak terkecuali, pengusaha kedai masakan Melayu, Shamsul Munir Safini yang sudah bersedia menerima pelanggan untuk makan di kedainya.
Ujarnya, kebenaran itu secara tidak langsung dapat 'menghidupkan kembali' kedainya selepas sekian lama bergantung kepada khidmat penghantar dan bawa balik susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak Mei lalu.
Shamsul Munir berkata, bagi memastikan keselamatan pelanggan dia akan memberi tumpuan terhadap aspek kebersihan termasuk melakukan sanitasi yang kerap.
"Kami terpaksa menyediakan seorang pekerja untuk periksa sijil vaksinasi yang dikeluarkan dan lengkap dos.
"Kami kena ambil pekerja, kami terpaksa lakukan sanitasi sebelum dan selepas meninggalkan kedai bagi mengelak (jangkitan) dan kami risau ia akan memberi kesan lebih panjang kalau perkara ini diambil mudah," kata Shamsul Munir.
Dalam pada itu, bapa kepada empat anak itu berkata, peningkatan kes jangkitan yang tinggi selain jumlah mereka yang lengkap dua dos vaksin yang masih rendah turut membimbangkannya.
Jika pertambahan kes terus dicatatkan, dia bimbang kerajaan akan mengambil keputusan menarik balik kebenaran pelanggan makan di kedai.
"Harapan saya supaya ia cepat pulih dan orang ramai diminta segera dapatkan vaksin," katanya lagi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad mengumumkan kebenaran aktiviti menjamu selera di premis makanan bagi mereka yang telah menerima dos vaksin lengkap, dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa Dua dan seterusnya, bermula hari ini.
Muhyiddin juga menyarankan kepada pengusaha premis makanan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.
Selain itu, pemilik kedai makan perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis untuk 'dine-in' wajib menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 mereka.
#COVID-19 #pelanggan #vaksin lengkap #MySejahtera #dua dos vaksin #peniaga #SOP #PKP #vaksin #perintah kawalan pergerakan #jangkitan #restoran #dine-in #makan di kedai
;