Kebenaran kolam pancing, bot bawa pemancing dijangka diumum Isnin

Astro Awani
Jun 6, 2020 16:01 MYT
Ismail Sabri berkata, kerajaan juga dijangka akan membuat pengumuman mengenai sektor-sektor lain yang akan dibuka secara berperingkat minggu depan.
Kebenaran operasi kolam pancing dan bot membawa pemancing di laut, adalah antara perkara yang dijangka diumumkan Isnin ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga dijangka membuat pengumuman mengenai sektor-sektor lain yang akan dibuka secara berperingkat pada minggu depan.
"Pada Isnin nanti kita akan umum sektor yang akan diberi kebenaran. Ada sektor yang akan dibuka secara berperingkat termasuk operasi kolam pancing.
"Kita juga akan bincang permohonan bot pelancong untuk memancing di laut, ini akan dibincang dengan lanjut mengenai SOP berkaitan supaya akhirnya semua sektor ekonomi akan dibuka dengan SOP yang ditetapkan.
"Walaupun mungkin tidak semua dibuka, namun kita akan bincangkan," katanya dalam sidang media harian di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, mengenai operasi pusat tuisyen pula, ia akan ditentukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), katanya.
Selain itu, kata Ismail Sabri, beberapa SOP turut dibentangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Perpaduan Negara.
"SOP Ulang Alik Pekerja Malaysia di Singapura dan SOP Pusat Kuarantin juga telah dibentangkan. Kesemua ini akan saya perincikan pada sidang media esok dan Isnin,' ujarnya.
#bot #ekonomi #ismail sabri yaakob #Kementerian Pendidikan #kerajaan #keselamatan #Malaysia #Media #menteri #operasi #pelancong #pendidikan #SOP
;