Kebenaran import ayam bulat sejuk beku selama tiga bulan hingga Feb 2022

Bernama
Disember 4, 2021 17:35 MYT
MAFI dalam satu kenyataan menyatakan kebenaran mengimport bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran itu, melibatkan pertimbangkan import sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kerajaan memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini sehingga Februari 2022 (Disember 2021 hingga Februari 2022), kata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini.
MAFI dalam satu kenyataan menyatakan kebenaran mengimport bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran itu, melibatkan pertimbangkan import sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.
"Syarikat yang berhasrat untuk mengimport perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai kemudahan penyimpanan sejuk beku serta tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
"Kebenaran pengimportan ini hanya akan dibenarkan dari negara dan loji penyembelihan yang telah diluluskan oleh kerajaan," menurut kenyataan dikeluarkan MAFI itu lagi.
Langkah intervensi itu adalah berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 Dis bahawa kerajaan akan mengimport ayam sejuk beku bagi menampung permintaan, dan membolehkan rakyat mendapat bekalan pada harga lebih rendah berbanding ayam segar tempatan.
Kenyataan MAFI itu menyebut kebenaran mengimport ayam bulat itu adalah bersifat sementara sehingga bekalan ayam dapat distabilkan oleh industri ayam tempatan.
Selain itu, kuantum import itu hanyalah untuk memenuhi kekurangan bekalan ayam semasa untuk tempoh tertentu sahaja.
Berdasarkan penelitian MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), negara berhadapan kekurangan bekalan ayam dalam pasaran secara purata sebanyak 18 peratus bagi bulan Oktober dan November 2021 dan diunjurkan berlarutan ke bulan Disember 2021.
"Kekurangan bekalan ayam ini antara lain disebabkan berlakunya peningkatan permintaan yang mendadak berikutan pembukaan semula sektor ekonomi, terutamanya hotel, restoran dan katering bermula bulan Oktober 2021," menurut kenyataan MAFI itu
Keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 3,762 tan metrik atau 2.09 juta ekor sehari atau 113,220 tan metrik atau 62.9 juta ekor sebulan.
Kekurangan bekalan ayam juga telah menyebabkan kenaikan harga ayam mencecah sehingga RM10 bagi satu kilogram di pasar basah dan pasar raya.
"Langkah intervensi yang diambil kerajaan ini adalah dengan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh, dalam memastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang berpatutan, pada masa sama kebajikan penternak ayam tempatan juga akan terus dipelihara," katanya.
-- BERNAMA
#MAFI #kebenaran import #ayam bulat sejuk beku #Kementerian Pertanian dan Industri Makanan #bekalan
;