Kebenaran eksport pasir ke luar negara berdasarkan kes - Takiyuddin

Bernama
Disember 9, 2021 14:02 MYT
TAKIYUDDIN: KeTSA bersedia dengan mekanisme yang teratur untuk mengawal selia aktiviti pengeksportan pasir agar dapat mengembalikan kapasiti asal sungai. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan pengeksportan pasir sungai secara kes mengikut kes berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh syarikat, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kelulusan pengeksportan pasir yang dikeluarkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) adalah khusus untuk tapak konsesi yang telah diluluskan pihak berkuasa negeri dengan perincian seperti kuantiti pasir yang boleh dieksport, destinasi eksport dan tempoh pengeksportan boleh dijalankan.
Beliau berkata permohonan bagi mendapatkan kelulusan untuk mengeksport pasir sungai akan diproses mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KeTSA dan pemohon perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan sumber pasir sungai (konsesi) daripada pihak berkuasa negeri dan melengkapkan semua dokumentasi teknikal.
"Semua permohonan disemak dan dinilai secara teknikal oleh sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Teknikal Pengeksportan Pasir Ke Luar Negara (JKTEP).
"JKTEP ini turut melibatkan agensi-agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan lain-lain yang dijemput mengikut keperluan," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini.
Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia untuk membenarkan pengeksportan pasir ke luar negara terutamanya bagi projek tebatan banjir di muara sungai.
Takiyuddin berkata KeTSA bersedia dengan mekanisme yang teratur untuk mengawal selia aktiviti pengeksportan pasir agar dapat mengembalikan kapasiti asal sungai untuk menampung aliran air permukaan dan mengelakkan risiko banjir.
Mengenai jumlah pasir yang dieksport serta syarikat terlibat, Takiyuddin berkata bagi 2021, kerajaan mengeluarkan lesen mengeksport pasir ke luar negara kepada 29 syarikat dengan kuantiti pasir yang diluluskan adalah 455,349,439 tan metrik.
-- BERNAMA
#eksport pasir #kerajaan negeri #Takiyuddin Hassan #ketsa
;