Kebebasan media: Majlis Media jadi timbang tara, angkat profesion kewartawanan

Hasimi Muhamad
Mei 4, 2023 18:16 MYT
Reporters Without Borders (RSF) melaporkan Malaysia berada di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berbanding tangga ke-133 tahun lepas. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penubuhan Majlis Media boleh menjadi timbang tara dalam menangani pelbagai isu melibatkan pengamal media, sekali gus meletakkan profesion kewartawanan ke tahap yang lebih tinggi.
Penasihat Editorial BebasNews.My, Datuk Zaini Hassan berkata penubuhan Majlis Media juga penting bagi membezakan peranan kewartawanan dan media sosial, yang ketika ini dilihat berlaku peperangan siber.
"Kalau kita tengok selepas 30 tahun dan perubahan landskap digital dunia dan Malaysia, kita rasa perlu mengadakan satu majlis bagi mengawal selia, dan menanda aras profesion kita (kewartawanan) sendiri.
"Saya rasa sudah sampai masanya kerajaan harus mengiktiraf peranan kewartawanan dalam konteks negara kita yang akan bergerak ke hadapan.
"Ia satu reformasi yang harus dilakukan oleh kerajaan semasa bagi mengawal selia dan (sebagai) timbang tara," katanya dalam Program Pantau Agenda Reformasi di Astro AWANI pada Khamis.
Jelas beliau lagi, dengan adanya Majlis Media, sebarang kes yang dihadapi oleh pengamal media tidak perlu dihadapkan ke mahkamah awam.
Mengambil contoh di Indonesia, tambah Zaini, media arus perdana di negara ini juga perlu diberi ruang sebebas-bebasnya, sekali gus mampu menangani pengaruh media sosial.
"Kita di sini (Malaysia) berlakunya peperangan antara 'cybertrooper' A dan B... 'cybertrooper' kerajaan dengan pembangkang dan sebagainya.
"Ini berlaku disebabkan kebebasan yang dikongkong dalam kalangan media arus perdana itu sendiri. Kita harus tengok perkara ini secara kritis, kenapa ia berlaku di Malaysia," ujarnya lagi.
Semalam, Reporters Without Borders (RSF) melaporkan Malaysia berada di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berbanding tangga ke-133 tahun lepas.
Dalam indeks berkenaan, kedudukan Malaysia meningkat 40 anak tangga dengan mencatat 62.83 mata berbanding tahun sebelumnya pada kedudukan 113 dengan 51.55 mata.
#Kebebasan media di Malaysia #Indeks Kebebasan Media #Penubuhan Majlis Media #Kerajaan Perpaduan
;