Kebebasan media antara komitmen Kerajaan Perpaduan - Fahmi Fadzil

Bernama
Disember 8, 2022 22:25 MYT
Fahmi berkata penubuhan Majlis Media Malaysia mungkin menjadi antara kaedah bagi merealisasikan matlamat itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kebebasan media menjadi antara komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan proses semak dan imbang kerajaan berjalan baik, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata penubuhan Majlis Media Malaysia mungkin menjadi antara kaedah bagi merealisasikan matlamat itu.
"Saya sendiri sebagai menteri terbuka untuk meneliti perkara ini (penubuhan Majlis Media Malaysia), tetapi semestinya ia perlu persetujuan di peringkat Jemaah Menteri.
"Berikan sedikit masa, kita akan teliti," katanya selepas menghadiri taklimat dan lawatan kerja ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohammad Mentek serta pengurusan Bernama iaitu Pengerusinya Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Ariffin.
Timbalan Ketua Pengarang, Perkhidmatan Berita Antarabangsa yang juga menanggung tugas sebagai Ketua Pengarang, Jamaluddin Muhammad dan Editor Eksekutif yang juga menanggung tugas sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, Harlina Samson turut hadir.
#Kerajaan Perpaduan #Fahmi Fadzil #Kebebasan Media #Majlis Media Malaysia #PM10 #Tumpuan PM10
;