Kebebasan kehakiman: Tubuh RCI siasat tuduhan terhadap badan kehakiman - Jahaberdeen

Hasimi Muhamad
Ogos 18, 2022 19:31 MYT
Peguam Kanan, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berpandangan, siasatan yang dijalankan oleh RCI itu mampu membetulkan semula persepsi kononnya sistem kehakiman negara adalah tidak bebas - Foto/fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dicadang ditubuhkan bagi menyiasat pelbagai tuduhan terhadap sistem kehakiman negara sepanjang tempoh 20 tahun lalu.
Peguam Kanan, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berpandangan, siasatan yang dijalankan oleh RCI itu mampu membetulkan semula persepsi kononnya sistem kehakiman negara adalah tidak bebas.
Jelas beliau, untuk memulihkan semula kepercayaan, hakim-hakim juga perlu bebas daripada rasa takut, ugutan, serta campur tangan termasuk daripada kerajaan.
"Sehingga kini saya lihat tidak ada pun satu badan suruhanjaya atau RCI.
"Tubuhkan satu badan suruhanjaya untuk mengkaji pelbagai tuduhan-tuduhan yang pernah dibuat sepanjang 20 tahun.
"Saya merujuk secara khususnya sebagai contoh selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pengampunan (diraja), beliau ada membuat kenyataan-kenyataan yang memberikan (gambaran) tertentu kepada sistem kehakiman.
"Begitu juga kita ingat ada seorang bekas hakim yang pernah membuat satu afidavit yang juga memberi gamabran yang tidak begitu sihat terhadap kehakiman. Jadi semua ini belum diselesaikan lagi," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.
Pada Februari 2019, satu pendedahan afidavit dibuat oleh hakim Mahkamah Rayuan (ketika itu), Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.
Afidavit 63 muka surat itu antaranya yang mendedahkan maklumat terperinci berhubung beberapa insiden campur tangan dalam badan kehakiman Malaysia.
Mengulas lanjut, Pengasas Pergerakan RAPERA itu menambah, tuduhan-tuduhan terhadap badan kehakiman perlu diselesaikan secara serentak oleh RCI termasuk melalui sesi dialog atau forum awam bagi membuktikan semua dakwaan tersebut tidak berasas.
Katanya lagi, kedaulatan undang-undang di negara ini akan terjamin sekiranya mahkamah bersikap bebas.
"Kita selalu sebut bahawa sistem kehakiman merupakan benteng terakhir untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat.
"Jadi bila kehakiman merupakan benteng terakhir untuk mendapatkan keadilan, kita mahu bila pergi ke mahkamah kita mendapat satu keputusan yang adil dan jujur. Untuk hakim-hakim bersikap adil dan jujur, mereka perlulah tidak takut untuk membuat satu keputusan," ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, beliau berkata dalam keadaan tertentu, sistem kehakiman perlu bertindak lebih tegas terutamanya berdepan dengan tuduhan yang terlalu palsu.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, Jahaberdeen berkata, adalah tidak salah untuk menyuarakan kritikan terhadap sistem kehakiman namun ia perlu mempunyai batas.
"Dalam kes-kes berprofil tinggi, wujud terutama berbaur politik dan kita dalam sistem demokrasi yang sangat subur, kita memang anggap perkara ini akan berlalu.
"Pada amnya, saya yakin sistem kehakiman kita dan saya rasa kita harus lentur komen-komen kepada kehakiman, seimbangkan antara demokrasi dan juga menghormati sistem kehakiman supaya kehakiman tidak hilang kebebasan," katanya.
#Kebebasan kehakiman #Pengasingan kuasa di Malaysia #Penubuhan RCI #Campur tangan kerajaan badan kehakiman
;