Kebebasan bersuara tidak harus disekat, namun perlu disertai sikap tanggungjawab - Wan Junaidi

Ridauddin Daud
Jun 8, 2022 19:00 MYT
Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kebebasan bersuara tidak seharusnya disekat di Malaysia namun pada sama ia perlu disertai dengan sikap bertanggungjawab. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tiada sesiapa pun termasuk ahli politik mempunyai hak dan kuasa untuk menyekat kebebasan bersuara di Malaysia kerana ia adalah hak asasi manusia malah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kebebasan bersuara tidak seharusnya disekat di Malaysia namun pada sama ia perlu disertai dengan sikap bertanggungjawab.
Tambah beliau, media juga perlu berhati-hati dalam apa yang mereka laporan dan berusaha menyampaikan mesej daripada mana-mana pihak dengan cara yang paling tepat.
Tegasnya, media perlu lebih konkrit terutamanya dalam menghasilkan kandungan berita yang mereka siarkan tidak kira di media cetak, elektronik atau platform media sosial.
“Malangnya, media barat telah menyalahgunakan keistimewaan media mereka untuk mempengaruhi dunia dengan membesar-besarkan, dan kadangkala tidak melaporkan maklumat yang tepat.
“Sebagai contoh, dalam kes Arab Spring. Apa sebenarnya yang berlaku di Iraq? Apa yang berlaku di Libya? Apa yang dilaporkan tentang Palestin dan perang baru-baru ini antara Ukraine dan Rusia?
“Saya berkata ini kerana saya telah menjadi mangsa kepada banyak artikel mengelirukan yang dilaporkan dalam media. Mereka suka "meletakkan perkataan yang tidak saya keluarkan" yang membawa kesan buruk,” katanya.
Tambah beliau, disebabkan laporan tidak tepat itu, beliau dihujani banyak soalan dan lebih teruk, beliau terpaksa mempertahankan diri atas perkara yang tidak pun beliau katakan.
Wan Junaidi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup ‘World Press Freedom Day Virtual Forum 2022” secara maya pada Rabu.
Tambahnya, Malaysia mengamalkan demokrasi di mana ada semak dan imbang terhadap kerajaan dan bagi beliau, media memainkan peranan penting dalam memastikan ia berlaku.
“Dalam sistem demokrasi, media boleh bertindak sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat. Peranan media adalah penting sebagai mekanisme maklum balas, pendedahan dan saluran di semua negara.
“Kebanyakan rakyat menerima maklumat mereka tentang apa yang sedang berlaku dalam kerajaan, dan bagaimana ia memberi kesan kepada mereka, melalui media.
“Justeru, semua pengamal media mesti jujur ​​dalam melaporkan dan melaporkan berita dengan sebaik mungkin,” ujarnya.
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar #kebebasan bersuara #Media #Malaysia #undang-undang #World Press Freedom Day #Kebebasan Media
;