Kebebasan bersuara perlu ada garis, tidak melampaui batas - Saifuddin Nasution
Sinar Harian
Januari 3, 2023 21:33 MYT
Januari 3, 2023 21:33 MYT
SHAH ALAM : Kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat perlu ada garis yang harus dijaga supaya tidak melampaui batas sehingga menyentuh sensitiviti pihak lain.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana, ia akan mencetuskan kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.
"Bagaimanapun, kerajaan hari ini cukup terbuka dengan agenda mempertahankan kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat.
"Sememangnya, perkara itu juga yang kami perjuangkan sekian lama," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.
Perkara tersebut dibincangkan ketika beliau bertemu dengan Ketua Dasar Awam ByteDance yang juga mengelola Tiktok Malaysia, Hafizin Tajudin di pejabatnya di Putrajaya.
Tambah Saifuddin Nasution, perbincangan itu diadakan demi Malaysia yang harmoni dan memperkukuh perpaduan nasional. - Sinar Harian