Jelasnya, setiap warga bebas untuk menyatakan pendapat dan kritikan namun harus sentiasa berpegang kepada prinsip kesederhanaan yang menjadi matlamat pembentukan negara ini.
Media terutamanya, kata Fahmi, perlu menjalankan tugasnya sebagai ‘estet keempat’ yakni badan yang berperanan sebagai pemantau dalam memastikan sistem demokrasi itu berfungsi dengan baik.
“Isu kebebasan media ini tidak boleh disalah tafsir sehingga kita boleh mentohmah, memfitnah, mengeluarkan kata-kata kesat atau kebencian terhadap institusi raja mahupun memperlekeh agama.
“Jadi kita (media) yang ‘melakar garisannya’. Undang-undang sedia ada sangat jelas dan selagi mana ia tidak dilanggar, kita semua ada hak (untuk bersuara),” katanya dalam program Agenda AWANI pada Khamis.
Tambah Fahmi, bukan sahaja batas undang-undang yang perlu dipatuhi malah adab, yakni kesopanan dan kesusilaan sepertimana termaktub dalam prinsip Rukun Negara itu mesti dituruti.
Apa pun perkara, beliau mengingatkan media serta seluruh rakyat Malaysia supaya bersederhana, beringat dan jangan melangkaui batas yang ada.