Kebanyakan rantaian bekalan perisian di Malaysia terdedah kepada serangan siber - Kaji selidik
Bernama
Ogos 13, 2024 06:30 MYT
Ogos 13, 2024 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kaji selidik baharu oleh BlackBerry Ltd mendedahkan majoriti pembuat keputusan teknologi maklumat (IT) di Malaysia melaporkan menerima notifikasi mengenai serangan atau kelemahan dalam rantaian bekalan perisian mereka dalam tempoh 12 bulan lepas.
Menurut pembekal perisian keselamatan pintar itu, yang melakukan kaji selidik ke atas 100 syarikat Malaysia, lebih tiga perempat (79 peratus) daripada rantaian bekalan perisian negara terdedah kepada serangan siber, mengatasi purata global sebanyak 76 peratus.
Katanya hampir satu pertiga daripada responden Malaysia mengenal pasti sistem operasi (30 peratus) dan Internet Pelbagai Benda (IoT)/komponen bersambung (19 peratus) sebagai yang paling berisiko sekali gus memberi impak terbesar kepada organisasi.
"Risiko ini ada implikasinya, dengan kerugian kewangan (71 peratus), kerosakan reputasi (66 peratus) dan kehilangan data (59 peratus) menjadi akibat paling ketara berikutan serangan rantaian bekalan," katanya dalam satu kenyataan.
Dapatan daripada kaji selidik global terhadap pembuat keputusan IT dan peneraju keselamatan siber, yang dijalankan pada April 2024 oleh Coleman Parkes, sejajar dengan pewartaan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) oleh kerajaan Malaysia pada 26 Jun dan pengumuman Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) pada Mei.
Dapatan laporan itu menggariskan keperluan kepada amalan perisian selamat mengikut reka bentuk untuk komponen IoT dan peraturan yang teguh untuk mengukuhkan keselamatan dan melindungi rantaian bekalan IT, sejajar dengan rancangan NSS untuk pelaburan dalam kemahiran dan teknologi.
Kaji selidik itu mengesahkan organisasi Malaysia telah melaksanakan langkah keselamatan yang ketat untuk mencegah serangan rantaian bekalan perisian, termasuk latihan kesedaran keselamatan untuk pekerja (58 peratus), penyulitan data (48 peratus) dan pengesahan pelbagai faktor (47 peratus).
Bagaimanapun, pendedahan kelemahan berada pada kedudukan lebih rendah (43 peratus).
"Walaupun Software Bill of Materials (SBOM) dinilai lebih rendah (40 peratus), keperluan kawal selia dan pematuhan antarabangsa akan meningkatkan kepentingannya dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang, terutamanya bagi syarikat pembuatan yang mereka bentuk dan menjalankan perdagangan komponen teknologi dengan pasaran global," katanya.
Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat BlackBerry Cybersecurity Christine Gadsby berkata kerajaan progresif seperti Malaysia giat melaksanakan langkah-langkah pengawalseliaan serta melabur dalam kemahiran dan teknologi untuk melindungi infrastruktur penting dan industri utama daripada serangan siber.
"Dalam iklim geopolitik yang tidak menentu, sektor seperti pembuatan semikonduktor kekal sebagai sasaran yang menguntungkan kepada pelaku ancaman yang mencari impak global maksimum.
"Oleh itu, pendekatan menyeluruh terhadap keselamatan siber merangkumi semua aspek termasuk pekerja mahir, produk reka bentuk selamat dan alat pemantauan kecerdasan buatan (AI) moden akan menyumbang kepada pembinaan kepercayaan dalam industri utama Malaysia dan pertumbuhan ekonomi pada masa depan," katanya.
-- BERNAMA