Kebanyakan lif, eskalator di stesen LRT, MRT kembali beroperasi - Rapid Rail

Afiezy Azaman
Disember 23, 2022 11:50 MYT
Kemas kini Rapid Rail Sdn Bhd mengenai kerja-kerja pembaikan kerosakan dan naik taraf yang dijalankan terhadap fasiliti di stesen LRT, MRT dan monorel di sekitar Lembah Klang, pada Jumaat. - Foto Rapid Rail
KUALA LUMPUR: Ketersediaan operasi fasiliti lif di stesen Transit Aliran Ringan (LRT),Transit Aliran Massa (MRT) berada pada tahap 99 peratus manakala eskalator di 10 stesen MRT yang rosak sebelum ini telah kembali beroperasi, setakat hari ini.
Itu antara kemas kini Rapid Rail Sdn Bhd mengenai kerja-kerja pembaikan kerosakan dan naik taraf yang dijalankan terhadap fasiliti di stesen LRT, MRT dan monorel di sekitar Lembah Klang, pada Jumaat.
Selain itu, operator perkhidmatan itu berkata, kerja-kerja membaik pulih kebocoran di 21 lokasi di stesen LRT dan Monorel telah berjaya disiapkan dan bakinya akan diselesai secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2023.
Tambah syarikat itu, kerja-kerja membaik pulih sistem pendawaian dan penggantian mentol yang bermasalah di stesen-stesen telah hampir selesai dan buat masa ini bilangan lampu yang tidak berfungsi adalah di bawah 1 peratus.
"Prasarana Malaysia Berhad turut menambah 18 unit lif dan 39 unit lif platform kerusi roda di stesen monorel bagi memenuhi keperluan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
"Aktiviti penyelenggaran sentiasa dilakukan secara berkala bagi memastikan fasiliti yang disediakan untuk pengguna berada dalam keadaan yang baik. Kerja-kerja menaik taraf fasiliti lif di monorel ini memerlukan penambahbaikan dari segi struktur dan juga melibatkan beberapa isu keselamatan yang perlu dibaiki.
"Projek naik taraf akan bermula pada suku pertama tahun 2023 dan memerlukan masa selama 18 bulan untuk disiapkan," katanya.
Selain itu, Rapid Rail berkata, setakat 15 Disember lalu, proses penggantian 20 unit 'handrail' dan tiga unit 'stepchain' di 10 stesen MRT telah disiapkan dan eskalator di stesen-stesen berkenaan telah kembali beroperasi.
Jelas syarikat itu, pihaknya telah menerima alat ganti (fasa 1) pada awal Disember lalu, setelah mengalami kelewatan penghantaran disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan global.
"Dengan ketersediaan alat-alat ganti tersebut, kerja-kerja penggantian segera telah dijalankan oleh kontraktor pengilang pengeluar asal atau 'original equipment manufacturer' (OEM) secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Februari 2023.
"Sebagai langkah jangka panjang, Rapid Rail telah melaksanakan program penyelenggaraan berasaskan keadaan atau 'condition based maintenance' (CBM) di mana proses mengganti komponen yang dinilai akan rosak atau kerap bermasalah akan terus dilaksanakan tanpa menunggu jangka hayat tamat.
"Berdasarkan konsep CBM, pihak Rapid Rail telah membuat tempahan awalan yang mencukupi bagi menyokong program CBM," ujarnya.
Mengenai kebocoran di stesen dan kerja-kerja baik pulih di stesen MRT, perbincangan bersama pihak MRT Corporation (MRTC) selaku pemilik aset telah dijalankan.
"Proses pembaikan di 22 lokasi kebocoran telah dilakukan dan pemantauan keberkesanan kerja-kerja baik pulih tersebut sedang dilaksanakan.
"Terdapat lokasi kebocoran yang memerlukan lebih masa untuk diselesaikan kerana pembaikan tersebut melibatkan modifikasi kepada struktur atap," katanya.
Syarikat itu turut menyentuh mengenai sistem pencahayaan di stesen yang mana kerja-kerja membaik pulih sistem pendawaian dan penggantian mentol yang bermasalah di stesen-stesen telah hampir selesai.
"Baki lampu yang masih tidak berfungsi merupakan kerosakan baru dan penggantian segera akan dilakukan," katanya.
Pada 14 Oktober lalu, menurut Rapid Rail, sejumlah 22 daripada 362 unit lif tidak berfungsi dan 49 daripada 707 eskalator tidak berfungsi.
#LRT #MRT #prasarana #eskalator
;