Kebanjiran pengunjung di pusat rekreasi, orang ramai perlu lebih waspada - Bomba

Bernama
Oktober 17, 2021 16:17 MYT
Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dan mengambil berat langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti di air susulan banyak pusat pelancongan dan rekreasi di Terengganu mula dibanjiri pelancong. - Foto BERNAMA
KUALA BERANG: Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dan mengambil berat langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti di air susulan banyak pusat pelancongan dan rekreasi di Terengganu mula dibanjiri pelancong selepas pembukaan semula sempadan 13 Okt lepas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata pihaknya juga telah mengarahkan anggota supaya lebih kerap melakukan pemantauan dan rondaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan aspek keselamatan dipatuhi.
"Contohnya di Tasik Kenyir yang ramai orang datang, tetapi saya nampak agak longgar dari segi SOP dan jaket keselamatan juga tidak dipakai dengan betul.
"Jangan anggap kita sudah bersedia kerana di dalam air sangat berbeza keadaannya (jika lemas). Sebab itu saya nasihatkan orang ramai supaya ambil berat langkah keselamatan terutama yang ada anak kecil," katanya selepas menyaksikan latihan persediaan monsun timur laut JBPM kali ke-4, di Tasik Kenyir semalam.
Beliau berkata demikian susulan kes kematian akibat lemas seorang kanak-kanak berusia tiga tahun selepas terjatuh dari rumah bot dekat Air Terjun Lasir malam semalam.
Dalam perkembangan lain, Md Hilman berkata sebanyak 728 anggota dan pelbagai aset telah bersiap sedia bagi menghadapi musim banjir yang mungkin berlaku antara empat hingga enam gelombang.
"Sepertimana tahun-tahun lepas kita jangka hadapi situasi yang sama. Tetapi kali ini aspek penyelamatan mangsa akan digandakan dan SOP lebih ketat kerana wabak COVID-19," katanya.
-- BERNAMA
#pusat rekreasi #Aktiviti air #pusat pelancongan #JPBM Terengganu #SOP
;