Kebanjiran pelaburan dari China di Malaysia harus dipantau demi kedaulatan - Musa Hitam
Israr Khalid
Disember 20, 2016 18:36 MYT
Disember 20, 2016 18:36 MYT
Senario 'kebanjiran' pelaburan dari China di Malaysia harus dipantau dalam memastikan ia tidak mengganggu-gugat keselamatan dan kedaulatan negara.
Kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, kepimpinan negara harus bijak meletakkan sempadan waspada dalam hubungan bilateral Malaysia-China yang dilihat penting dalam pembangunan negara.
Menurutnya, Malaysia juga perlu sensitif terhadap aspek politik susulan perkembangan minat China menjalin hubungan lebih rapat dengan negara ini.
Melihat China sebagai kuasa besar dunia, Musa menyarankan Malaysia menjalinkan hubungan dengan kuasa besar ekonomi dunia itu dalam lingkungan hubungan China-ASEAN sedia ada.
"Saya lihat ini kerana saya ditugaskan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi bersama bagi program 15 tahun China-ASEAN. Kami merangka program merangkumi perdagangan, pelaburan dan perniagaan dalam lingkungan ASEAN dan China, dan banyak perkara positif terhasil.
"Tetapi keadaan dunia semasa terutamanya di wilayah Laut China Selatan yang nampaknya menjadi medan pertandingan banyak kuasa besar telah menimbulkan masalah," katanya selepas forum "Frankly Speaking: A Recension" di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Untuk itu katanya, pemimpin ASEAN perlu bertindak secara kolektif dalam menangani kehadiran China di rantau ini.