Kebanjiran kira-kira 400,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini yang menimbulkan banyak masalah sosial dan menjejaskan ekonomi tempatan dilihat semakin membebankan negara.

Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, kebanyakan mereka datang melalui sindiket dan proses penghantaran balik ke negara asal juga sukar kerana mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Malaysia bersedia menghantar mereka pulang tetapi memerlukan komitmen pihak berkuasa negara-negara asal terbabit kerana perkara ini memberi persepsi buruk kepada Malaysia seolah-olah kita (Malaysia) bertangungjawab kepada aktiviti pemerdagangan manusia," katanya.

Jelasnya, Malaysia ialah sebuah negara yang mengutuk kegiatan pemerdagangan manusia dan meminta masyarakat dunia bersikap adil kepada negara ini serta tidak hanya mempercayai laporan media yang tidak beretika semata-mata.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, seramai 14,309 PATI berjaya ditangkap di seluruh negara bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut, seramai 206 majikan turut ditahan dengan 52 didakwa, 80 dikenakan kompaun, 47 dalam siasatan manakala 27 dibebaskan.

Tambahnya, statistik menunjukkan warga negara Indonesia merupakan bilangan tertinggi ditangkap diikuti Myanmar, Bangladesh, Filipina, Nepal, Thailand, India, Pakistan, Vietnam, Kemboja, China, Sri Langka, Turki, Nigeria dan lain-lain.

Dalam pada itu jelas Wan Junaidi, sehingga Mei, tahanan di depot mengikut jantina pula menunjukkan terdapat seramai 9,593 lelaki, 1,572 wanita dan 461 kanak-kanak.

Katanya, warganegara yang diusir dari negara ini ialah seramai 23,934 orang dengan yang terbanyak terdiri daripada rakyat Indonesia iaitu 10,541 orang, Filipina (3,450), Bangladesh (2,253), Vietnam (1,097) dan Nepal (1,048) bagi tempoh yang sama.