Kebangkitan Global South penting untuk ‘global order’ lebih seimbang - PM Anwar
Firdaus Azil
September 5, 2024 15:25 MYT
September 5, 2024 15:25 MYT
VLADIVOSTOK: Kebangkitan kumpulan negara Global South bukan sahaja menggambarkan anjakan dalam kuasa ekonomi sedia ada, tetapi juga merupakan satu konfigurasi, atau penetapan semula pengaruh terhadap dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan kedudukan geografi merentasi benua Asia, Afrika dan Amerika Latin, Global South berada di atas trajektori yang tepat untuk memainkan peranan penting dalam membentuk semula masa depan ekonomi dunia.
Justeru, katanya lagi, Malaysia ingin menekankan kepentingan untuk negara-negara Global South membina hubungan yang lebih erat, berkongsi pertumbuhan serta menyumbang ke arah perintah dunia (global order) yang lebih seimbang.
“Seperti mana Rusia, kami juga melihat potensi dalam ekonomi negara-negara membangun ini, dan kami komited untuk mewujudkan perkongsian yang boleh memacu kemakmuran bersama.
“Atas sebab itu, Malaysia sedang melihat peluang secara aktif dalam kalangan Global South, dan menyertai rakan-rakan yang ingin mewujudkan paradigma pembangunan yang baharu – yang lebih inklusif, berekuiti, mampan dan berdaya tahan,” katanya lagi.
Beliau berkata dalam dunia yang semakin kompleks, kemakmuran di masa hadapan bergantung kepada kebolehan masing-masing untuk mengadaptasi, berinovasi, dan membina hubungan yang merentas sempadan tradisional.
Dengan kebangkitan Global South, Anwar berkata, Malaysia ingin bangkit bersama-sama.
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama di sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 di sini pada Khamis.
Turut menyampaikan ucaptama dalam forum yang bertemakan ‘Combining Strength to Create New Potential’ itu ialah Presiden Rusia Vladimir Putin selaku hos forum tersebut, dan Naib Presiden China Han Zeng.
Dalam pada itu Anwar berkata, sebagai negara ekonomi terbuka, Malaysia berbangga dengan dasarnya yang melakukan perniagaan dengan hampir seluruh negara dunia, dan telah mendapat manfaat yang besar dengan menjadi nod penting dalam rantaian bekalan global.
Pemusatan kepada usaha itu datang daripada Rangka Kerja Ekonomi MADANI, yang telah melaksanakan inisiatif reformasi struktur untuk membuka jalan ke arah masa depan yang lebih inklusif dan mampan kepada Malaysia.
Menyentuh mengenai hubungan Malaysia-Rusia, Perdana Menteri berkata, beliau melihat satu bidang kerjasama yang boleh dimanfaatkan dengan segera ialah sistem kewangan Islam.
Beliau berkata, Malaysia telah dilihat sebagai antara pemimpin industri, dengan mempunyai ekosistem teguh yang bukan sahaja patuh kepada prinsip syariah, tetapi juga memacu inovasi dalam instrumen kewangan.
Katanya lagi, Rusia, dengan populasi sekitar 22 juta rakyat yang beragama Islam, telah mewujudkan potensi untuk kewangan Islam, dan Anwar percaya pengenalan perbankan kewangan Islam di negara itu boleh memudahcara projek secara bersama, selain menarik pelaburan dari negara-negara Islam.
Dalam bidang pertanian pula, Perdana Menteri berkata, peranan Rusia sebagai pemain global yang cukup signifikan, dengan menjadi pengeksport dan pengimport bijiran terbesar, sudah semestinya memberi peranan yang cukup penting dalam menjamin keterjaminan makanan.
Begitu juga dengan bidang pendidikan yang melihat reputasi sejak zaman-berzaman Rusia, khususnya dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain universiti negara itu secara konsisten menghasilkan saintis, jurutera dan penyelidik bertaraf dunia.
Kesemua bidang itu, kata Perdana Menteri, memberikan peluang yang cukup besar untuk diterokai Malaysia, selain memberi ruang untuk mengukuhkan lagi hubungan baik antara dua negara yang telah terjalin sekian lama.