Kebakaran tiga kapal kayu di Sandakan, pekerja kapal ditemukan mati lemas
Bernama
Disember 16, 2015 07:45 MYT
Disember 16, 2015 07:45 MYT
Seorang pekerja kapal yang dilaporkan hilang dalam kebakaran membabitkan tiga kapal kayu di perairan Batu Sapi dekat sini semalam, ditemukan mati lemas pada Rabu.
Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata mayat Susulan Abraham, 36, warganegara Filipina ditemukan terapung pada kira-kira 6.34 petang oleh orang awam.
Mayat mangsa ditemukan di kawasan perairan Kampung Cenderamata tidak jauh dari lokasi kebakaran, katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dalam kejadian kebakaran itu semalam, mangsa dilaporkan hilang, lima pekerja kapal cedera dan lima lagi sempat menyelamatkan diri.
Ketika kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, sebuah kapal yang didaftarkan atas nama M/L Harma telah selesai memindahkan petrol di sebuah jeti untuk dihantar ke Bongao, Tawi-Tawi di selatan Filipina.
Tiba-tiba berlaku letupan ketika enjin kapal dihidupkan dan pekerja kapal melepaskan tali tambatan untuk membiarkan kapal tersebut hanyut menyebabkan api merebak ke dua lagi kapal awam yang diletakkan berhampiran jeti itu.