Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, penduduk berhampiran mula berpindah
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 17, 2022 20:02 MYT
Januari 17, 2022 20:02 MYT
NIBONG TEBAL: Enam hari kebakaran di tapak pelupusan sampah Sungai Burung berlarutan, sebahagian besar penduduk di Kampung Kebun Baru dan Ladang Byram di sini, mula meninggalkan kediaman mereka susulan pencemaran udara.
Penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini susulan arahan dikeluarkan pihak berkuasa demi keselamatan dan kesihatan mereka.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kebun Baru, Nur Syakila Abdullah, berkata, kira-kira 115 penduduk daripada 18 keluarga yang terlibat perlu meninggalkan kediaman mereka selewat-lewatnya jam 8 malam ini.
"Semalam penghulu, pejabat daerah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) semua datang. Buat masa ini, 18 keluarga sudah bersedia pindah ke PPS. Ada yang belum berpindah (tadi) kerana perlu membuat persiapan terlebih dahulu, tapi berjanji untuk keluar sebelum jam 8 malam," katanya ketika ditemui Astro AWANI hari ini.
Pencemaran Udara | 86 keluarga di Nibong Tebal diminta pindah ke PPS
Menurut Nursyakila, walaupun kebanyakan penduduk setuju untuk berpindah, namun ada juga beberapa keluarga yang enggan meninggalkan kediaman mereka menyebabkan pihaknya terpaksa memujuk mereka berkali-kali.
Tinjauan di kampung terbabit mendapati selain berpindah ke PPS, ada penduduk yang memilih untuk menumpang di rumah saudara terdekat.
Dua PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah.
Sementara itu, bagi Mohamad Hafiz Abdullah, arahan berpindah yang dikeluarkan secara tiba-tiba menyebabkan penduduk tidak dapat membuat persediaan berpindah dalam kadar segera.
"Semalam arahan dikeluarkan suruh keluar jam 8 hingga 10 malam. Agak mengejut juga, surat apa pun belum dapat. Jadi kita penduduk rasa macam tak pasti, betul atau tidak arahan itu.
"Hari ini Isnin hari bekerja, banyak urusan perlu dilakukan. Nak minta pelepasan majikan pun tiada sebarang surat lagi diberikan kepada penduduk. Jadi urusan untuk pindah tu lambatlah," katanya.
Mengenai keadaan di kampung itu, katanya penduduk memang merasai keperitan untuk bernafas disebabkan pencemaran udara.
"Duduk dalam rumah rasa pedih mata. Adik ipar saya dia meniaga, rasa sakit dada. Macam semalam (pihak berkuasa) datang bagi penerangan, kami rasa pedih mata. Mereka galakkan keluar duduk di PPS buat sementara.
"Tak tahu lagi berapa hari, dia cakap mungkin 10 hari atau dua minggu sementara nak baik pulih atau padam kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah itu," katanya.
Tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.2 hektar dilaporkan terbakar sejak Rabu lalu, dan kini usaha memadam kebakaran tersebut masih giat dijalankan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, Noor Asfariza Mohamad Abdul Kadir berkata, operasi dilakukan secara berterusan walaupun berdepan cabaran antaranya sumber bekalan air yang terhad selain faktor asap tebal, angin serta cuaca panas yang menyebabkan api merebak dengan cepat.
Katanya, setakat hari ini, pihaknya berjaya memadamkan tujuh peratus kawasan kebakaran yang membabitkan 6.5 hektar kawasan berkenaan.
Noor Asfariza berkata, bomba berusaha melakukan kerja pemadaman menggunakan kaedah pemadaman api di permukaan selain mengorek tanah untuk memadam api yang berada di bawah timbunan sampah sedalam lebih 15 meter .