Kebakaran tapak pelupusan sampah: PPS SK Saujana Indah ditutup sepenuhnya

Sinar Harian
Februari 9, 2022 12:49 MYT
Syarikat konsesi pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan MBSP akan meneruskan kerja-kerja penutupan Fasa 1 dan 2 hingga selesai di bawah pemantauan secara berkala oleh JAS Pulau Pinang. -Foto Sinar Harian
NIBONG TEBAL: Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah yang menempatkan penduduk terjejas berikutan insiden kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung ditutup pada Rabu.
Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) berikutan penduduk yang terlibat dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas cerapan terkini dan ulasan teknikal daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mendapati kualiti udara di sekitar kawasan Ladang Byram bertambah baik serta kembali pulih.
"Dimaklumkan, PPS di SK Saujana Indah ditutup dan semua penduduk yang terjejas dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing mulai Rabu.
"Selain itu, operasi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah SPS juga akan ditamatkan pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
BACA: Kebakaran tapak pelupusan sampah: Penduduk lega dapat pulang ke rumah, harap insiden tidak berulang
Bagaimanapun, jawatankuasa itu memaklumkan syarikat konsesi pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan meneruskan kerja-kerja penutupan Fasa 1 dan 2 hingga selesai di bawah pemantauan secara berkala oleh JAS Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah SPS turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi persekutuan dan negeri yang telah membantu dalam operasi bencana ini.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini dilapor terbakar pada kira-kira jam 5 petang, 10 Januari lalu membabitkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi.
Berikutan itu, tapak pelupusan sampah Pulau Burung diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kawasan kebakaran di situ mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.
Akibat kejadian itu juga, dua PPS akan dibuka di SK Saujana Indah dan SK Bakap Indah bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru, di sini kerana berdepan masalah pencemaran udara.
Dilaporkan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram dipindahkan ke dua PPS berkenaan selain ada menumpang di rumah ahli keluarga mereka.
Selepas 20 hari terbakar, akhirnya kebakaran di tapak pelupusan sampah itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 31 Januari lalu.
*Berita asal di Sinar Harian
#tapak pelupusan sampah #Pulau Burung #mbsp #JAS Pulau Pinang
;