Kebakaran tapak pelupusan sampah: Penduduk lega dapat pulang ke rumah, harap insiden tidak berulang

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 8, 2022 19:05 MYT
Kebanyakan penduduk mengambil inisiatif membersihkan rumah masing-masing setelah lebih dua minggu terpaksa meninggalkan kediaman mereka. - Astro AWANI
NIBONG TEBAL: Penduduk Kampung Kebun Baru, di Nibong Tebal berharap kejadian kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Ladang Byram, Nibong Tebal tidak lagi berulang pada masa hadapan.
Pada masa yang sama, mereka juga berharap agar pihak bertanggungjawab dapat melakukan pemantauan berkala agar kejadian kebakaran seperti yang berlaku baru-baru ini dapat dielakkan.
Penduduk mendakwa, kebakaran di tapak pelupusan sampah yang berlaku pada 12 Januari lalu adalah paling buruk sehingga memaksa penduduk di dua buah kampung berhampiran berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Bagi Sarimah Awang, 53, mereka terpaksa akur dengan arahan berpindah kerana bimbang dengan keselamatan diri dan ahli keluarga , apatah lagi setelah kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1.
Namun, setelah lebih dua minggu terpaksa tinggal di PPS, mereka kini lega apabila dapat kembali ke rumah masing-masing setelah kualiti udara di kawasan itu dilaporkan semakin baik dan selamat.
Katanya, kesemua mereka yang sebelum ini terpaksa tinggal di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah, kini telah pulang ke rumah masing-masing sejak semalam dan hari ini.
"Bila balik ni rasa lega, rasa lapang sikit dada. Semua orang kampung pun pakat balik dah. Saya harap, kalau boleh tu tak akan ada lagi jadi macam ni.. MInta doa biar tak ada apa dah... tenang sikit orang kampung kat sini," luah seorang penduduk yang terjejas, Sarimah Awang.
Rata-rata mereka berkata, walaupun kebajikan serta keperluan mereka terjaga sepanjang berada di PPS, namun banyak urusan harian menjadi terganggu.
Bagi Siti Syamsiah Abu Hassan, dia berasa lega dan bersyukur apabila sudah dibenarkan pulang ke kediaman sendiri.
"Alhamdulillah syukur sebab dah boleh balik. Masa duduk sana (PPS), kelengkapan semua cukup tapi kita macam bergegas untuk ke sana ini (untuk urusan harian). Bila balik, tengok adik saya dah kemas rumah, tak ada apa-apa lah. Saya berharap kejadian macam ni tak berulang lagi sebab ini kali pertama kami dipindahkan," katanya.
"Perasaan dapat balik (ke rumah) tu seronok, sebab duduk sana (PPS) tak berapa selesa, walau kemudahan di situ semua ada. Saya harap benda macam ni tak berulang lagilah... mereka kena pantau," ujar Norafiza Mohd Ramli.
Sementara itu , tinjauan Astro AWANI mendapati kebanyakan penduduk mengambil inisiatif membersihkan rumah masing-masing setelah lebih dua minggu terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPT) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penduduk Kampung Kebun Baru dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Ia berikutan cerapan terkini daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati kualiti udara di sekitar kawasan kampung tersebut semakin baik.
Bagaimanapun, penduduk Ladang Byram dinasihatkan untuk tidak lagi kembali ke rumah masing-masing.
Media sebelum ini melaporkan kebakaran seluas kira-kira 11.3 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar di tapak pelupusan sampah terbesar di negeri itu pada 12 Januari lepas.
#kebakaran tapak pelupusan #sampah #Pulau Burung #penduduk kampung
;