Kebakaran tangki minyak mentah KBC dipadamkan sepenuhnya

Bernama
Julai 7, 2018 00:08 MYT
Usaha memadam kebakaran melibatkan tiga buah tangki minyak mentah milik syarikat Kemaman Bitumen Company (KBC) akhirnya berjaya ditangani anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia. - Bernama
Kebakaran tiga tangki minyak mentah Kemaman Bintumen Company (KBC) yang terbakar sejak Khamis lalu akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 6.40 petang Sabtu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata kebakaran dapat dipadamkan dengan kaedah semburan terus ke punca api menggunakan peralatan bomba dan membuat pemerhatian menggunakan dron yang diuruskan pihak polis.
"Kami juga dapati tidak ada lagi tompok-tompok kebakaran yang dilihat dari atas dan kami juga menggunakan 'Thermo X-Rray' untuk melihat kebakaran sama ada atau tidak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan perindustrian KBC Teluk Kalong lewat malam Sabtu.
Menurutnya bagi memastikan kebakaran tangki berkenaan tidak berulang pihak bomba akan menggunakan kaedah memasukkan air ke dalam dua tangki yang terbakar bagi mengurangkan kepanasan tangki tersebut yang penghadang bahan yang ada dalam tangki berkenaan mempunyai takat lebur tinggi lebih dari 1,000 darjah Celsius.
Tambah beliau lagi, walaupun kebakaran ketiga-tiga tangki berkenaan sudah berjaya dipadamkan namun operasi tersebut akan diteruskan sehingga pagi Ahad.
"Kami akan terus membuat pemantauan. Taklimat akan diberi kepada Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) KBC untuk buat pemantauan dan melaporkan info yang kami perlukan.
"Siasatan akan dilakukan secepat mungkin dan disebabkan kebakaran ini adalah kebakaran besar satu pasukan bomba dari Putrajaya akan jalankan siasatan dengan dibantu pegawai negeri. Kebakaran ini adalah antara yang terbesar di Malaysia selain daripada di Segamat , Tanjung Langsat (Johor) dan juga di Port Dickson," katanya. -- Bernama
#KBC #kebakaran #Kemaman Bitumen Company
;