Kebakaran tanah gambut di Rompin berjaya dipadam, operasi dihentikan

Azee Shafy
September 23, 2022 05:45 MYT
Seramai 16 anggota bomba termasuk pegawai operasi dipertanggungjawab menjalankan tugas-tugas memadam kebakaran sejak hari pertama, di Ladang Ibam-Merchong, dekat Kampung Orang Asli Sawah Batu, Muadzam Shah, Rompin. - Foto ihsan JBPM
ROMPIN: Operasi memadam kebakaran di sebuah hutan tanah gambut di Ladang Ibam-Merchong, dekat Kampung Orang Asli Sawah Batu, Muadzam Shah di sini meliputi kawasan seluas 40 hektar, sejak Selasa lalu, dihentikan semalam.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 14 anggota dan tiga pegawai kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Nenasi dan Rompin digegaskan ke lokasi kejadian pada Selasa lalu.
"Operasi memadam kebakaran yang memasuki hari ke-4 itu, memfokuskan kawasan bahagian tengah dan tunggul-tunggul kayu yang masih berasap dengan menggunakan satu pam angkut serta satu aliran sepanjang 213 meter dengan mengambil air terbuka dari punca berhampiran.
"Kebakaran telah berjaya dipadamkan secara keseluruhan, dan operasi ditamatkan pada jam 6.30 petang," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Zulfadli berkata, seramai 16 anggota bomba termasuk pegawai operasi dipertanggungjawab menjalankan tugas-tugas memadam kebakaran sejak hari pertama.
Menurutnya, pada Selasa, operasi pemadaman menggunakan sumber air terbuka, dan kebakaran telah berjaya dipadam seluas kira-kira empat hektar dengan menggunakan dua buah pam angkut, empat aliran hos sepanjang kira-kira 100 meter serta empat pancutan bagi memadam kebakaran.
Memasuki hari kedua, operasi pemadaman diteruskan dengan bantuan Unit Udara Bomba menggunakan kaedah 'water bombing' dari udara oleh helikopter Jabatan Bomba.
"Anggota pemadaman telah dihantar ke kawasan yang terlibat kebakaran dengan menggunakan helikopter berikutan tiada jalan darat yang boleh dilalui.
"Pemantauan kawasan yang terlibat juga telah dilakukan dengan menggunakan helikopter. Pasukan Dron Unit Udara Bomba turut membantu bagi mengenal pasti kawasan yang terlibat dengan kebakaran dan kebakaran berjaya dipadam seluas enam hektar," ujarnya.
Zulfadli memberitahu, sambungan operasi pemadaman diteruskan pada Khamis dengan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Johor.
#kebakaran #tanah gambut #Rompin #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
;