Kebakaran tahfiz: Tindakan tegas jika terbukti wujud unsur khianat - TPM Zahid

Shafiq Noordin
September 16, 2017 16:35 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid bertanyakan sesuatu kepada Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmod (kanan) ketika meninjau bangunan asrama yang terbakar pada 14 September 2017. -Gambar fail/Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tiada pihak akan terlepas sekiranya wujud perbuatan khianat dalam insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa menunjukkan kelibat individu masuk ke pusat tahfiz itu sebelum kejadian daripada pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang terletak bersebelahan lokasi kejadian.
“Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) sedang meneliti CCTV yang diperoleh daripada PPIM.
“Jika ada unsur jenayah, saya beri jaminan individu itu tidak akan terlepas,” kata Ahmad Zahid.
Beliau juga menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan rakaman itu di media sosial kerana ia hanya akan mengganggu siasatan.
“Saya mohon orang ramai agar jangan membuat spekulasi apatah lagi memviralkan bahan-bahan yang diperoleh PPIM untuk dianalisis mengikut pandangan masing-masing.
“Serahkan sepenuhnya kepada pihak Forensik PDRM dan Jabatan Siasatan Jenayah,” kata Datuk Seri Ahmad Zahid lagi.
Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut menggesa pusat tahfiz atau sekolah agama di negara ini agar berdaftar dengan pihak berkuasa negeri masing-masing bagi memudahkan penyelarasan piawaian.
Mereka juga digesa melengkapkan institusi masing-masing dengan peralatan mencegah kebakaran serta-merta, manakala bagi yang kurang berkemampuan bolehlah membuat permohonan kepada pihak berwajib.
#CCTV #forensik #kebakaran #khianat #PDRM #Persatuan Pengguna Islam Malaysia #PPIM #pusat tahfiz #Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah #TPM #Zahid Hamidi
;