Kebakaran tahfiz di Jitra, enam pelajar terselamat
Astro Awani
September 18, 2020 21:56 MYT
September 18, 2020 21:56 MYT
Enam pelajar tahfiz terselamat dalam kejadian kebakaran di tingkat atas sebuah blok bangunan asrama yang didiami mereka di Maahad Tahfiz Darul Ulumarrahimiyah, Jitra, petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, enam pelajar terbabit berada dalam asrama berkenaan dan seorang daripadanya didapati tidak sihat.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, ketika kejadian enam pelajar tahfiz yang berusia antara 10 hingga 16 tahun terselamat selepas seorang daripadanya bertindak memecahkan penggera loceng kecemasan.
"Ketika kejadian 46 pelajar lelaki berusia 12 tahun hingga 20 tahun pergi menunaikan solat Jumaat di masjid yang terletak berdekatan dengan asrama mereka.
"Kesemua pelajar itu berada di asrama terbabit kerana mematuhi Prosedur Operasi Standart (SOP) kerana tidak cukup umur masuk ke masjid manakala pelajar lelaki berusia 16 tahun tidak sihat," katanya di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu beliau berkata, seorang pelajar berusia 16 tahun mengalami kecederaan pada tangannya akibat terkena serpihan kaca ketika cuba menyelamatkan diri.
Beliau berkata, pusat tahfiz itu dibuka sejak tahun 1990 dan menempatkan seramai hampir 70 pelajar lelaki dari serata negeri di situ dan dua dari Thailand serta Kemboja.
Operasi disertai 22 anggota dan empat jentera dan sebuah jentera tangki dari Balai Bomba Penyelamat Jitra dan Alor Setar.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kebakaran membabitkan dua blok bangunan bersambung kelas A di tingkat atas.
Mohamadul Ehsan berkata, api berjaya dikawal jam 1.41 petang.
Beliau berkata, setakat ini pasukan Bahagian Forensik JBPM Kedah masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu untuk mengenal pasti punca dan kerugian.
#Alor Setar
#API
#bomba
#Cuba
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#kebakaran
#Kedah
#lelaki
#Malaysia
#operasi
#pelajar
#siasatan
#Solat Jumaat
#SOP