Kebakaran stor: Pejabat Parlimen Papar salur bantuan khemah dan makanan

Astro Awani
November 11, 2024 00:24 MYT
Armizan berkata, kakitangan di pejabat Parlimen Papar telah turun padang membantu mangsa-mangsa yang terlibat. - Gambar FB Pejabat YB Armizan Ahli Parlimen Papar
KUALA LUMPUR: Beberapa khemah sementara didirikan bagi menempatkan para pesakit dan kakitangan Hospital Papar, Sabah yang terkesan susulan insiden kebakaran di stor perubatan farmasi hospital itu.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kakitangan di pejabat Parlimen Papar telah turun padang membantu mangsa-mangsa yang terlibat.
Menurutnya, pada Selasa juga, Pejabat Parlimen Papar akan membantu membekalkan makanan dan minuman memandangkan dapur penyediaan makanan hospital turut terjejas dalam kebakaran itu.
"Bermula Selasa, untuk sementara waktu ini, Pejabat Parlimen Papar akan membantu untuk membekalkan makanan dan minuman sehingga pihak Hospital dapat menyediakan makanan melalui pihak pembekal luar kepada pesakit," katanya dalam catatan di Facebook pada malam Isnin.
Dalam kejadian jam 7 malam Isnin, sebuah bangunan menempatkan stor farmasi Hospital Papar hangus terbakar, manakala bilik makmal kajian hanya terkena bahangan api.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan menerima panggilan kecemasan dan memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
#Facebook #JBPM #pusat gerakan operasi #kemalangan jiwa
;