Kebakaran stor cemaskan pelajar dan calon SPM

Astro Awani
November 5, 2019 14:41 MYT
Sebaik bomba tiba api sedang marak sehingga ke siling namun berjaya dipadamkan setengah jam kemudian. - Foto Astro AWANI
Lebih 500 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kundang, di sini termasuk calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menduduki peperiksaan berhadapan detik cemas apabila sebuah stor kantin di sekolah terbabit terbakar.
Kejadian berlaku kira kira jam 7 pagi tadi ketika calon SPM sedang dalam persediaan memasuki dewan peperiksaan sebelum guru mula mengarahkan pelajar untuk mengosongkan bangunan.
Menurut Pengetua sekolah, Nor Azila Musa, calon SPM terbabit kemudiannya dibenarkan untuk meneruskan sesi peperiksaan berikutan dewan sekolah yang terletak jauh dari lokasi stor kantin.
“Kebakaran berlaku di dalam stor kantin yang terletak dekat atas, ada kotak- kotak kosong, jadi kebakaran merebak dari situ dan naik ke bumbung.
“Dalam tempoh 5 minit kita memanggil bomba dan bomba sampai kalau tidak silap saya lebih kurang 8.05 minit dan kita kumpulkan murid-murid yang tidak ada peperiksaan di padang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat, dari Batu Arang dan Rawang bergegas ke lokasi kejadian sejurus mendapat panggilan kecemasan.
Sebaik bomba tiba api sedang marak sehingga ke siling namun berjaya dipadamkan setengah jam kemudian.
Siasatan mendapati premis stor itu menempatkan kotak terpakai.
Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
#kebakaran #kemalangan #Malaysia #peperiksaan #Rawang #Sekolah Menengah Kebangsaan Kundang #Sijil Pelajaran Malaysia #SPM
;