Kebakaran stesen janakuasa: TNB jalankan pemeriksaan, pemulihan

Bernama
Februari 14, 2025 10:45 MYT
Menurut TNB, secara keseluruhan, operasi Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar, Port Dickson berada dalam keadaan terkawal. - Foto TNB
SEREMBAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan pasukan teknikal sedang menjalankan kerja-kerja pemeriksaan serta pemulihan yang diperlukan berhubung insiden kebakaran di Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar, Port Dickson dekat sini malam tadi.
TNB dalam kenyataan di Facebook memaklumkan kebakaran telah dipadamkan dan setakat malam tadi, tiada sebarang kecederaan membabitkan warga kerja TNB mahupun orang awam dilaporkan.
"TNB juga bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan bagi meneruskan siasatan dan telah mengambil langkah kawalan keselamatan. Secara keseluruhan operasi stesen janakuasa dalam keadaan terkawal," menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Pegawai Kanan Penguasa Bomba Mohd Kamal Mohd Timar berkata kejadian dipercayai berlaku akibat kebocoran gas yang melibatkan letupan pada power unit 2A di kawasan talian paip membabitkan gas neutral serta kebakaran tidak menjejaskan struktur bangunan.
Beliau berkata stesen janakuasa berkenaan menggunakan tenaga turbin gas dan bacaan oksigen di luar bangunan iaitu 20.8 peratus adalah di tahap normal.
Terdahulu, Bernama melaporkan TNB mengesahkan insiden kebakaran berlaku di Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar, Port Dickson dekat sini malam tadi bagaimanapun tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
-- BERNAMA
#TNB #Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar #kebakaran #Port Dickson #kebocoran gas #letupan
;