Kebakaran Sandakan: Identiti seorang daripada tiga mangsa rentung dikenal pasti - Polis

Radhi Muslim
Ogos 20, 2022 14:24 MYT
Dua wanita dan seorang lelaki rentung selepas rumah mereka terbakar, kira-kira jam 10.30 malam tadi. - Foto Astro AWANI
SANDAKAN: Identiti seorang daripada tiga mangsa yang rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Taman Rajawali, dekat Batu Tujuh, di sini malam tadi berjaya dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, mangsa seorang lelaki dikenal pasti sebagai Chin Seong Vui, berumur 54 tahun.
Menurutnya, dua lagi mangsa belum dikenal pasti identiti sebenar mereka.
"Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, rumah tersebut didiami oleh seorang lelaki dan dua wanita, berketurunan Cina.
"Ketiga-tiga mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat.
"Setakat ini, kes kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Menurutnya lagi, punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan dua wanita dan seorang lelaki rentung selepas rumah mereka terbakar, kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Mayat semua mangsa ditemukan rentung di ruang tamu tingkat bawah rumah terbabit.
#kebakaran Sandakan #mayat rentung #identiti dikenal pasti #polis sandakan
;