Kebakaran rumah pegawai Kastam dipercayai akibat khianat
Astro Awani
Januari 23, 2018 16:07 MYT
Januari 23, 2018 16:07 MYT
Kes kebakaran melibatkan empat buat kereta di perkarangan rumah seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Presint 11 awal pagi tadi di sini dipercayai akibat perbuatan khianat.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata siasatan awal di lokasi kejadian menemui tukul besi dan pemetik api di lokasi kejadian.
“Kami menemui kepala tukul atas bonet belakang salah satu kenderaan yang terbakar dan juga pemetik api dilantai,
“Berdasarkan keterangan saksi, api merebak dengan cepat menyebabkan keseluruhan bahagian hadapan rumah terbakar termasuk 4 buah kereta yang diletakkan di hadapan rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kebakaran kira-kira jam 3.30 pagi itu dipercayai bermula dari bahagian depan rumah kuarters kerajaan itu menyebabkan empat buah kereta termasuk kereta Mercedes Benz, Perodua MyVi, Honda CRV dan Proton Saga.
Ketika kejadian Penolong Pengarah Kanan Kastam Bahagian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Nor Azman Jini, isteri, anak, menantu dan dua cucu berusia dua serta tiga tahun sedang tidur sebelum mereka dikejutkan oleh jiran.
Sementara itu Pengarah Bomba Putrajaya, Md Hilman Abdul Rashid berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 4.07 pagi dan berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 30 minit oleh lapan orang anggota bomba.