Kebakaran Rumah Jalak: Hampir semua penghuni tinggal sehelai sepinggang
Bernama
Julai 12, 2016 22:49 MYT
Julai 12, 2016 22:49 MYT
Rumah Panjang Jalak di Tanjung Penasu di sini, yang menempatkan 39 unit kediaman, musnah dalam kebakaran pada Selasa yang menyebabkan hampir kesemua penghuninya tinggal sehelai sepinggang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada 11.57 pagi lalu mengarahkan dua jentera pemadam kebakaran dari Balai Bomba Sibu dan Balai Bomba Sungai Merah dan 14 anggota segera ke rumah panjang itu.
"Usaha memadam kebakaran turut dibantu beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam Sibu," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata punca kebakaran sedang disiasat.
Sementara itu, seorang daripada penghuni rumah panjang dua tingkat itu, Bangi Melaka berkata kebakaran itu berlaku pada 11.30 pagi semasa para penghuni penduduk sedang memulakan penanaman musim baharu.
Menurutnya ketika itu, beliau baru sahaja selesai mandi selepas pulang dari sawah padinya apabila terdengar orang menjerit tentang kebakaran itu.
Beliau berkata hampir semua barang milik keluarganya gagal diselamatkan termasuk 50 guni padi yang baharu dituai sebelum perayaan Gawai lepas.
"Benih pun tak dapat nak diselamatkan," katanya sambil memberitahu beliau hanya mampu menarik mesin pelerai padi milik keluarganya yang terbakar dari 'ruai' rumah panjang.
Beliau juga sedih kerana koleksi pua kumbu, yang dibelinya dari beberapa daerah di Sarawak, turut musnah tanpa sempat diwariskan kepada anak cucunya.
Bangi berkata tiga orang cedera dalam kebakaran itu termasuk menantunya Jacqueline Peter, 30, dan Tuai Rumah Jalak, Kusau, berusia dalam lingkungan 70-an.
"Menantu saya cuba memutuskan kabel elektrik yang bersambung ke rumahnya di hadapan rumah panjang itu bagi mengelak kebakaran merebak namun dia gagal berbuat demikian apabila tiba-tiba mukanya disambar api," katanya.
Bangi berkata kebakaran besar itu adalah yang kedua berlaku dalam masa 15 tahun selepas yang pertama pada 2001.
Kusau, yang melecur sedikit di kedua belah betisnya, pula berkata kejadian itu berlaku ketika beliau tidur kerana tidak sihat.
"Sejurus bangun, saya dapati tidak ramai yang berada di dalam rumah panjang.
Mungkin ada dalam 10 orang masa itu. Kami cuba memadamkan kebakaran dengan pemadam api tetapi tidak dapat kerana api cepat marak," katanya.
Menurutnya dalam masa setengah jam sahaja, kebakaran itu meranapkan keseluruhan rumah panjang berkenaan.
Kusau berkata kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas dari rumah pertama di sebelah hulu rumah panjang itu, seperti kebakaran pertama dahulu.
"Namun, sebanyak 13 rumah yang tidak bersambung dengan Rumah Panjang Jalak, terselamat daripada kebakaran itu," katanya.
Menurutnya kebakaran pertama pada April 2001 berlaku selepas penduduk menuai padi dan kejadian kali ini berlaku ketika penduduk sedang memulakan penanaman musim baharu.
Sehubungan itu, beliau merayu kerajaan dan masyarakat di Sibu supaya membantu kesemua penghuni Rumah Panjang Jalak yang terjejas akibat kebakaran itu terutamanya kanak-kanak yang memerlukan pakaian dan buku sekolah.