Kebakaran rumah atas air di Pulau Gaya, tiga PPS dibuka

Ruzaini Zulkepli
Mac 11, 2021 04:25 MYT
Tiga pusat penempatan sementara dibuka di Sembulan, Likas dan Damai bagi menempatkan mangsa yang terjejas kebakaran. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Sebanyak 73 rumah atas air dikenal pasti musnah dalam kebakaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, malam tadi.
Insiden turut menyebabkan lebih 200 penghuni di lokasi berkenaan hilang tempat tinggal.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.23 malam.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang di tanah besar dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan bot.
Tiada kehilangan nyawa atau mangsa cedera dalam kejadian itu, katanya ketika dihubungi.
BACA: 20 buah rumah di Lok Urai, Pulau Gaya musnah dalam kebakaran
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, tiga pusat penempatan sementara (PPS) dibuka di Sembulan, Likas dan Damai bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Menurut Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip, pihaknya akan melakukan pemantauan rapi bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang terlibat.
"PPS sudah dibuka di Sembulan dan Likas, dan juga mungkin Damai, kalau ada keperluan. Sementara itu, pihak-pihak yang lain juga dalam keadaan sedia.
"InsyaAllah kita harapkan tidak ada sebarang kecederaan. Pihak polis sudah berada di lapangan. Begitu juga dengan bomba, polis marin dan juga SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd), sudah dihantar untuk mengawal keadaan," katanya selaku Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kota Kinabalu.
Terdahulu malam tadi, tular gambar serta video dikongsi netizen di laman sosial menunjukkan keadaan api marak yang dapat disaksikan dari pinggir pantai Kota Kinabalu.
Pulau Gaya boleh diakses dengan menggunakan bot dari tanah besar di sini dengan perjalanan sekitar 15 hingga 20 minit, bergantung kepada keadaan cuaca dan laut.
#kebakaran #rumah atas air #terbakar #Kota Kinabalu #Noorliza Awang Alip #PPS #Pusat Penempatan Sementara #bot #laman sosial #operasi #polis #bomba #mangsa #cedera #JBPM #hilang tempat tinggal
;