Kebakaran ranapkan puluhan rumah di Sibu

Astro Awani
Jun 19, 2013 21:00 MYT
- sumber laman Facebook bomba
Satu kebakaran besar dilaporkan berlaku di Kampung Dato-- antara perkampungan Melayu tertua
di Sibu, Sarawak--sekitar jam empat petang tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, sekurang-kurangnya 40 buah rumah kayu musnah, manakala laporan Bernama menganggarkan lebih 100 buah rumah hangus dalam kebakaran.
Ketua Bomba zon Sibu, Penguasa Kanan I Abdul Mutalib Rashid berkata api berjaya dipadamkan pada pukul 7 petang tadi.
Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kehilangan nyawa, katanya.
Pada jam 10 malam, pasukan bomba masih berada di tempat kejadian untuk memastikan api betul-betul telah padam.
“Kita masih menyiasat punca kebakaran. Setakat ini, kita tahu memang banyak rumah yang terjejas,” kata Abdul Mutalib kepada Astro AWANI.
Menurut Abdul Mutalib lagi, anggaran kebakaran meliputi kawasan 10,000 meter persegi .
“Rumah kayu terlalu dekat dan akibat musim panas dan angin pantai yang kuat, api merebak dengan cepat,” kata Abdul Mutalib.
Menurut laporan Bernama, penghulu Kampung Dato, Hussain Abdul Rasit berkata kira-kira
600 orang mangsa telah didaftarkan dan ditempatkan sementara di dewan Sekolah Kebangsaan Abang Ali berdekatan kampung itu.
Walaupun, punca kebakaran masih belum diketahui.
Ketua polis daerah Sibu ACP Shafie Ismail berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah rumah.
#Sibu
;