Kebakaran Pitas: Identiti mangsa rentung dikenal pasti, dua beranak antara korban

Sinar Harian
Ogos 1, 2024 13:56 MYT
Anggota bomba mengangkat salah seorang mayat mangsa kebakaran di Kampung Blok 5, Pitas pada Khamis.
KOTA MARUDU: Identiti tiga mangsa yang dilaporkan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Blok 5, Pitas, telah dikenal pasti.
Kejadian itu melibatkan dua beranak iaitu Abdul Malik Mad Tasin, 50-an dan anak perempuannya, Nur Adriana Qistina, 11, bersama seorang lagi ahli keluarga lain iaitu Salleh Onding, 60-an.
Sementara itu, tiga mangsa yang terselamat ialah isteri Abdul Malik iaitu Afnah Tundan dan dua lagi anak mereka, Nur Ika Afmaleena dan Nurattyqah.
Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Kudat, Kamarudin Sogon berkata, kesemua mayat mangsa ditemukan di kawasan dan pada waktu berbeza di rumah tersebut.
"Mayat kanak-kanak perempuan ditemukan pada jam 3.27 pagi di ruang tamu manakala mayat bapanya pula ditemukan pada jam 3.40 pagi di ruangan dapur.
"Seorang lagi mangsa ditemukan pada jam 4.26 pagi di bilik air," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan, tiga termasuk seorang kanak-kanak perempuan ditemukan rentung manakala tiga lagi cedera dalam kejadian kebakaran rumah di kampung tersebut.
Kebakaran yang bermula kira-kira jam 2 pagi itu turut menyebabkan dua kenderaan jenis Perodua Kembara dan Proton Waja terbakar 100 peratus.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#kebakaran Pitas #Kota Marudu #tiga maut #identiti dikenal pasti
;