Kebakaran Penampang: Empat yang rentung dipercayai gagal buka mangga jeriji - Bomba
Bernama
September 7, 2021 14:06 MYT
September 7, 2021 14:06 MYT
PENAMPANG: Empat sekeluarga yang terkorban dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Hungap, di sini awal pagi tadi dipercayai gagal membuka mangga kunci di jeriji kecemasan pada tingkap, untuk menyelamatkan diri.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Md Ali Ismail berkata tiga mayat mangsa ditemukan di bilik tingkat atas berhampiran tingkap itu, dan seorang lagi mangsa ditemukan dalam bilik air berhampiran bilik berkenaan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kebakaran itu dipercayai bermula dari tingkat bawah rumah tersebut, bagaimanapun siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran.
"Keempat-empat mangsa berkenaan dipercayai sedar kebakaran itu, namun mangsa gagal untuk menyelamatkan diri kerana tidak dapat membuka mangga yang dipasang pada jeriji berkenaan.
"Apabila dalam keadaan panik, besar kemungkinan mangsa akan lupa di mana meletakkan kunci untuk membuka jeriji kecemasan tingkap berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini hari ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Matthew Wong, 50; dan dua anaknya Brendan Wong, 18, serta Eric Wong, 15, ditemukan di bilik tingkat atas berhampiran jeriji tingkap kecemasan, manakala isterinya Jecky Vun Kon Fung, 48, di dalam bilik air berhampiran bilik berkenaan.
Dalam kejadian itu JBPM Sabah menerima panggilan pada pukul 2.52 pagi, sebelum berjaya mengawal kebakaran pada pukul 3.40 pagi dan operasi di lokasi kejadian ditamatkan pada pukul 6.10 pagi.
Md Ali berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasang jeriji kecemasan tingkap rumah yang berkunci, agar mudah untuk menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.
"Kebanyakan kes kebakaran yang melibatkan kematian menunjukkan mangsa cuba keluar melalui jeriji kecemasan tingkap rumah berkenaan, namun gagal berbuat demikian kerana gagal membuka mangga yang berkunci," katanya.
-- BERNAMA