Kebakaran Pasar Dato Keramat mungkin berpunca daripada litar pintas - Peniaga

Astro Awani
Mac 17, 2021 20:15 MYT
Peniaga sedih kerana kejadian itu berlaku ketika mereka sedang bergelut dengan keadaan pelanggan yang berkurangan serta pendapatan merosot disebabkan COVID-19. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Puluhan orang awam termasuk peniaga dan pelanggan di Pasar Dato Keramat di ibu negara bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila deretan gerai di kawasan itu terbakar petang Rabu.
Kebakaran yang menyebabkan asal tebal berwarna hitam yang boleh dilihat sejauh beberapa kilometer itu, turut disertai beberapa letupan kecil dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Api dipercayai marak dengan cepat disebabkan keadaan cuaca kering dan berangin, kata beberapa peniaga serta pelanggan yang berada di kawasan berkenaan.
Seorang peniaga, Ali Redha Abdul Latip, berkata mereka masih tidak tahu punca kejadian itu namun tidak menolak kemungkinan kejadian litar pintas.
"Tak pasti lagi punca kebakaran ini, mungkin sebab elektrik. Tapi yang nyata kedai saya dan rakan terbakar. Tak sempat selamatkan kedai saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
BACA: Beberapa buah gerai di Pasar Dato Keramat terbakar
Dalam pada itu, dia turut menyatakan kesedihan kerana kejadian itu berlaku ketika peniaga sedang bergelut dengan keadaan pelanggan yang berkurangan serta pendapatan merosot disebabkan COVID-19.
"Kami berharap pihak tertentu mengambil inisiatif membantu kami untuk meringankan beban. Keadaan yang kami hadapi akibat kebakaran ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga," katanya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi, berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 5.26 petang.
“Beberapa pasukan dan jentera digerakkan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat dan bantuan daripada BBP Setapak, BBP Wangsa Maju dan BBP Hang Tuah,” katanya pada Rabu.
#kebakaran #Pasar Dato Keramat #litar pintas #punca kebakaran #peniaga sedih #COVID-19 #jatuh ditimpa tangga
;