Kebakaran Pasar Dato Keramat: 'Api dari belakang kedai' - Peniaga
Fareez Azman
Mac 17, 2021 20:40 MYT
Mac 17, 2021 20:40 MYT
KUALA LUMPUR: "Saya nampak api mula masuk dari tepi gerai saya," kata peniaga, Abdul Rahman Ismail, 38, yang gerainya musnah dalam kebakaran di Pasar Dato Keramat di sini, pada petang Rabu.
Katanya, kejadian itu berlaku secara mengejut kira-kira jam 5.10 petang ketika dia sedang melayan beberapa pelanggan di gerai berkenaan.
“Masa tu saya tengah berniaga, saya perasan api dari belakang kedai saya, lepas itu mula meletup dan nampak api masuk dari tepi kedai.
"Tidak lama kemudian api mula marak di kedai saya dan merebak dengan cepat. Tiga kedai makan ketika itu sudah disambar api," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, Mohd Fahmi Abd Rahim ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.26 petang.
"Seramai 43 anggota dibantu BBP Setapak, Wangsa Maju dan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran melibatkan deretan gerai.
“Struktur gerai yang berada dalam keadaan rapat antara satu sama lain dan berkemungkinan tidak mempunyai dinding pemisah api mengakibatkan kebakaran merebak dengan pantas ke gerai bersebelahan,” katanya.
Katanya, api bagaimanapun berjaya dikawal dan dipadamkan kira-kira jam 6.25 petang dengan punca kejadian masih dalam siasatan.
#Pasar Dato Keramat
#kebakaran
#terbakar
#deretan kedai
#litar pintas
#peniaga
#selamatkan diri
#bomba
#API
#api marak
#asap tebal