Kebakaran: Operasi Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa ditutup sementara

Bernama
April 13, 2023 12:20 MYT
Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa yang mula beroperasi pada 1972 terbakar 80 peratus. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Operasi Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa di sini ditutup buat sementara waktu susulan kejadian kebakaran yang berlaku tengah malam, semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata kesemua 100 petugas di klinik ini akan ditempatkan di tiga klinik iaitu Klinik Kesihatan Badang, Klinik Desa Kemeruk dan Klinik Desa Kemumin.
"Orang awam yang ingin mendapatkan khidmat rawatan kesihatan, boleh pergi ke klinik yang berdekatan kerana siasatan di Klinik Pengkalan Chepa masih dijalankan.
"Kita akan maklumkan kepada orang awam mengenai perkembangan terkini dari semasa ke semasa berhubung pembukaan semula klinik ini selepas mendapat kebenaran daripada pihak bomba," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Klinik Pengakalan Chepa, di sini hari ini.
Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa yang mula beroperasi pada 1972 terbakar 80 peratus membabitkan empat buah bilik iaitu bilik pemandu ambulans serta tiga bilik pemeriksaan doktor (pesakit luar) dalam kejadian pada pukul 12.26 tengah malam.
-- BERNAMA
#Klinik kesihatan #Pengkalan Chepa #kebakaran #ditutup sementara
;