Kebakaran: Kanak-kanak tiga tahun selamatkan ahli keluarga

Sinar Harian
September 4, 2023 14:55 MYT
Kanak-kanak yang terjaga dari tidur itu dipercayai mengejutkan ahli keluarga yang lain apabila menyedari rumah teres dua tingkat berkenaan terbakar. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA SELANGOR: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi hero selepas menyelamatkan enam ahli keluarganya yang tidur nyenyak dalam kebakaran sebuah rumah di Bandar Sri Coafields di sini pada pagi Isnin.
Kanak-kanak yang terjaga dari tidur itu dipercayai mengejutkan ahli keluarga yang lain apabila menyedari rumah teres dua tingkat berkenaan terbakar.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.35 pagi.
Menurut beliau, seramai lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dengan bantuan BBP Sungai Buloh dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat terbakar 50 peratus di bahagian bilik bawah berkeluasan 10x12 kaki persegi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ahmad Mukhlis berkata, semasa kejadian seramai tujuh termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun berada dalam rumah berkenaan.
"Semasa kejadian, bilik itu menempatkan sebuah katil, namun tiada penghuni di dalamnya," jelas beliau.
Katanya, sejurus bomba tiba, kebakaran kira-kira 30 minit telah dipadamkan dan tiada kemalangan dan kehilangan jiwa dilaporkan.
"Bomba masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian serta anggaran kerugian," tambah beliau. - Sinar Harian
#kebakaran rumah #Kanak-kanak #selamat ibu bapa #Bandar Sri Coafields
;