Kebakaran Kampung Cina: Pembaikan, pembangunan semula akan diperinci - ADUN
Nur Fazlizai Ali
September 19, 2022 10:10 MYT
September 19, 2022 10:10 MYT
KUALA TERENGGANU: Pembaikan dan pembangunan semula Kampung Cina akan diperincikan selepas 12 buah premis di lokasi yang menjadi tumpuan pelancong itu musnah dalam kebakaran pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Kuala Terengganu, Ahmad Shah Mohamed berkata, pihaknya akan membincangkan perkara tersebut bersama pimpinan kerajaan negeri.
Ahmad Shah berkata ia melihat dan menilai bantuan yang akan disalurkan bagi pembangunan tersebut.
"Insya-Allah perkara itu akan dibincangkan di peringkat kepimpinan kerjaan negeri dan kebiasaannya kerajaan tidak akan biarkan perkara ini tanpa sebarang pembaharuan atau pembaikan.
"Insya-Allah kita akan tengok dan kita akan nilai apa-apa yang sesuai untuk kita bagi bantuan untuk pembangunan kembali tempat ini," katanya.
Sementara itu Ahmad Shah berkata, pihaknya juga akan menyalurkan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran tersebut termasuk penginapan kepada mangsa yang hilang tempat berlindung.
Pada Ahad sebanyak 12 buah premis termasuk rumah kedai yang berusia lebih 60 tahun musnah dalam kebakaran di Kampung Cina, Kuala Terengganu.
Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu menyaksikan deretan kedai termasuk kedai kain, kedai kunci dan kedai emas dan kedai jahit hangus dijilat api.
Kebakaran itu juga menyebabkan tujuh buah kedai separa kekal berkenaan musnah 100 peratus.